Saturday, April 14, 2012

pak arab penipu

ARKIB : 13/04/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 3
Polis buru penyangak Arab

MELAKA 12 April - Polis sedang memburu seorang lelaki dan wanita dari Asia Barat yang menjadikan juruwang sekitar negeri ini sebagai mangsa untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.

Pasangan dari Asia Barat berusia awal 40-an itu licik apabila turut menggunakan seorang kanak-kanak dalam kegiatan jenayah mereka.

Mendedahkan taktik jenayah samun itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Supritendan Soh Hock Sing berkata, suspek akan menyamar sebagai pelancong dan membeli barangan yang murah dengan harga tertentu menggunakan wang kertas RM100 atau RM50.

"Sebagai contoh, suspek lelaki akan memilih barangan berharga RM2.20 dan menghulurkan sekeping wang kertas RM100 dan syiling 20 sen kepada juruwang, manakala suspek wanita akan menggunakan paras rupanya yang cantik untuk menarik perhatian pekerja lain berbual dengannya.

"Ketika juruwang membuka mesin kaunter untuk memulangkan wang, ketika itulah suspek berpura-pura tidak pernah melihat wang RM50 dan meminta mangsa menunjukkannya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri hari ini.

Tambahnya, juruwang terbabit yang tidak mengesyaki apa-apa akan menyerahkan beberapa keping wang kertas RM50 untuk dibelek dan ketika itulah, suspek dengan pantas mengambil kesempatan mencuri beberapa keping wang itu tanpa disedari.

Menurutnya, dalam dua kes berasingan yang dipercayai dilakukan suspek sama pada 28 Mac lalu dan terbaru pada Selasa lalu, kedua-dua mangsa masing-masing mendakwa kerugian RM250 dan RM1,050.

"Kes itu berlaku di dua pusat beli-belah terkenal. Mangsa tidak sedar kehilangan wang tersebut kerana kejadian berlaku begitu pantas.

"Suspek juga biasanya akan berdiri bersebelahan juruwang untuk membelek wang sebelum meletakkannya semula membuatkan juruwang tidak mengesyaki apa-apa walhal dia sebenarnya sempat mengambil beberapa keping wang," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai terutamanya juruwang supaya lebih berhati-hati apabila dihampiri lelaki dan wanita dari negara Asia Barat itu.

Menurut Hock Sing, usaha mengesan suspek sedang dilakukan termasuk meneliti rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah itu dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

No comments:

Post a Comment