Thursday, April 26, 2012

awas bila air paip keluar malam hari

Buka paip air umpan mangsa
Wartawan Sinar Harian
26 April 2012
Buka paip air umpan mangsa
Buka paip air umpan mangsa
PALOH HINAI - “Saya terdengar bunyi air paip di bahagian dapur yang dibuka kuat ketika mahu ke tandas kerana sakit perut dan tidak menyangka ia hanya helah perompak yang mahu mengumpan ahli keluarga saya supaya terjaga dari tidur,” kata Norul Eliana Abdul Samat, 26.

Dia adalah mangsa rompakan empat penjenayah bersenjatakan parang dan besi kuku kambing yang memecah masuk rumahnya di Rancangan Penempatan Semula Banjir (RPSB) Batu 8 Lepar, di sini, awal pagi semalam.

Norul berkata, ketika itu dia bersama ibu bapa dan tiga adiknya sedang nyenyak tidur di bilik masing-masing.

Menurutnya, dia bangun kira-kira jam 3 pagi untuk ke tandas sebelum terdengar bunyi air paip mengalir di bahagian dapur rumah.

“Selepas membuka suis lampu di bahagian dapur, saya terus ke tandas kerana perut terlalu sakit dan berniat untuk menutup paip yang terbuka selepas selesai membuang air.

“Saya terkejut apabila membuka pintu bilik air, seorang lelaki bertopeng dan memegang besi kuku kambing tercegat di situ menyebabkan saya menutup kembali pintu bilik air,” katanya.

Norul berkata, perompak terbabit menolak semula pintu bilik air sehingga dia terlentang di atas lantai dan diarahkan diam serta keluar dari bilik air tersebut.

“Perompak berkenaan kemudiannya mengacu kuku kambing ke arah saya sambil mengarahkan saya ke bahagian tengah rumah, di mana dua adik lelaki saya, Mohd Syafiq, 17, dan Mohd Haris, 15, berada di situ.

"Mereka telah diikat dengan wayar seterika dan diawasi tiga perompak lain yang turut memakai topeng serta bersenjatakan parang.

"Perompak-perompak itu kemudiannya mengarahkan Mohd Syafiq mengetuk pintu bilik mengejutkan ibu dan ayah yang sedang tidur, sebelum mengacukan parang ke leher ayah sejurus pintu bilik dibuka.

“Ayah, Abdul Samat Lela, 49, dan ibu, Jamilah Ismail, 49, hanya terdiam. Mereka turut diikat sebelum perompak berkenaan bertindak menggeledah bilik untuk mencari wang dan barangan berharga,” katanya.

Norul berkata, seorang lagi adiknya, Norul Syafinaz, 19, turut diikat di dalam bilik ketika perompak menggeledah seluruh rumah, selain mengugut akan mencederakan mereka jika tidak mengikut arahan.

“Perompak berkenaan turut memaksa ayah memberitahu di mana wang dan barang kemas disimpan, selain menampar ayah sebanyak dua kali.

“Selepas kira-kira hampir sejam berada dalam rumah dan mengambil wang serta barangan berharga, keempat-empat perompak itu melarikan diri melalui pintu dapur,” katanya.

Norul berkata, selepas adiknya, Mohd Syafiq berjaya membuka ikatan, dia memanjat dinding untuk keluar dari dalam bilik ibu dan ayahnya lalu bertindak mengunci pintu dapur.

“Telefon bimbit milik Norul Syafinaz yang tidak diambil digunakan untuk menghubungi bapa saudara yang tinggal berdekatan dan polis.

“Saya bersyukur kerana kami sekeluarga tidak diapa-apakan, namun saya masih trauma dengan kejadian ini yang pertama kali berlaku,” katanya.

Laporan polis mengenai kejadian itu dibuat kedua ibu bapa Norul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan.


Kerugian dianggar RM10,000

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, perompak memecah masuk ke rumah mangsa melalui pintu di bahagian dapur dengan cara membuka selak kunci melalui tingkap berhampiran pintu.

Menurutnya, kesemua perompak berada dalam rumah mangsa selama kira-kira sejam sebelum me­larikan diri dengan barangan seperti tujuh unit telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai RM1,800 dan barang kemas.

“Empat suspek disyaki lelaki warganegara Indonesia berdasarkan bahasa percakapan yang didengari mangsa, selain mengesyaki mereka melarikan diri dengan sebuah kereta yang diletakkan agak jauh dari rumah mangsa.

“Polis kini giat mengumpul maklumat dan kes ini masih disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, polis masih giat mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan atau melihat orang yang mencurigakan menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment