Belum sempat angkat kotak letup, kata mangsa
2 Mac 2012
Mengimbas kembali sebelum berlaku kejadian kira-kira jam 8.45 pagi semalam di rumahnya di Kampung Ramuan China Besar, Lubok China, dia berkata dia telah siap menghidupkan enjin motosikal dan memakai topi keledar untuk ke tempat kerja.
Katanya, ketika sedang membuka pintu pagar rumah yang tiba-tiba tersekat, dia berasa pelik dan terkejut melihat sebuah kotak berwarna putih diletakkan di luar pagar rumahnya.
"Lepas buka pintu pagar, saya membongkok untuk alihkan kotak tapi baru sentuh ia dah meletup. Tiba-tiba saya terasa panas dan sakit di jari, tangan, muka dan kaki.
"Saya kemudiannya lari ke dalam rumah untuk mendapatkan bantuan dan memberitahu keluarga ada kotak kecil di luar pagar rumah meletup," kata kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Melaka hari ini.
Norasyikin berkata, ketika kejadian dia memakai tiga lapis pakaian iaitu baju sejuk, seragam kerja jenis kapas dan ves namun kulitnya terasa panas dan sakit.
Dia yang bertugas sebagai juruwang di sebuah pasar raya di Masjid Tanah masih trauma dan sedih atas kejadian menimpanya dan berharap pihak polis dapat menahan suspek dengan segera.
Sementara itu, nenek Norasyikin, Fatimah Buruk, 76, berkata ketika kejadian abang dan adik mangsa turut berada di rumah.
Dia berkata cucunya itu dimasukkan ke Unit Kecemasan sejurus dipindahkan dari Klinik Kesihatan Masjid Tanah ke Hospital Melaka.
"Doktor kata Norasyikin banyak melecur dan lukanya itu dicuci. Selepas itu dia terpaksa menjalani pembedahan selama satu jam lebih untuk mengeluarkan serpihan akibat letupan tersebut," katanya.
Dia berkata selepas kejadian tersebut keluarganya itu juga berhasrat untuk memasang kamera litar tertutup di kawasan rumah bagi tujuan keselamatan. - Bernama
No comments:
Post a Comment