Bekas banduan catat kehebatan dalam SPM
SHAH ALAM 21 Mac - Hidup di sebalik tirai besi dan tembok batu tidak bermakna segalanya telah berakhir dan tiada lagi harapan untuk membina masa depan yang sempurna.
Ia dibuktikan oleh seorang bekas banduan, Muhammad Zainal Ariff Mat Zain, 23, yang mencatat sejarah kerana muncul sebagai antara pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 Selangor.
Katanya, dia tidak menyangka takdir yang membawa dirinya ke Penjara Kajang, Selangor akibat kesalahan jenayah akhirnya memberikan sinar baru kepadanya.
"Saya berhenti sekolah semasa di tingkatan dua tetapi peluang keemasan yang terbuka ketika dalam penjara menyebabkan saya mengambil keputusan menyambung pelajaran.
"Akhirnya saya berjaya membuktikan walaupun perlu menjalani hukuman, namun saya mampu memperoleh keputusan 6A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2010 iaitu semasa tahun ketiga dalam penjara," katanya yang merupakan pelajar Sekolah Integriti Kajang.
Muhammad Zainal ditemui selepas menerima keputusan dan sijil penghargaan daripada Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mad Yunus pada majlis pengumuman keputusan SPM 2011 di sini hari ini.
Menurutnya, setelah berjaya dalam PMR, dia meneruskan pelajaran dan menduduki SPM tahun lalu hingga akhirnya mendapat keputusan 5A+, 1A,1B, dan 1E sekali gus menjadi pelajar terbaik di kalangan penghuni Penjara Kajang.
Dengan kejayaan itu juga katanya, dia berharap mana-mana institusi pengajian tinggi awam bersedia menawarkannya peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan.
"Setelah dibebaskan tahun lalu, saya bekerja di kampung di Pasir Mas, Kelantan. Sudah semestinya dengan keputusan ini saya boleh pergi lebih jauh dalam pelajaran.
"Saya berjanji akan belajar dengan tekun untuk membela nasib keluarga di kampung," katanya.
Sementara itu, pelajar cemerlang dari Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang, Muhammad Shafaat So'af, 17, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pula berjaya mencapai keputusan 5A+, 2A dan 4A-.
Muhammad Shafaat yang cacat kaki kiri sejak kecil mengakui pada mulanya sukar berulang-alik dari asrama ke sekolah ekoran kekurangannya itu.
"Namun, atas keprihatinan rakan-rakan dan semangat yang kuat, semua itu saya harungi dengan tabah sehingga berjaya mencapai keputusan yang membanggakan," katanya.
Friday, March 23, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment