Wednesday, March 21, 2012

culik jel seumur hidup

Tujuh sahabat menculik dihukum penjara seumur hidup

21 Mac 2012

JOHOR BAHARU - Tujuh sahabat dihukum penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah menculik seorang ahli perniagaan, tiga tahun lalu.

Kesemua tertuduh V.G. Vishal, 26, Soon Yong Hwa, 21, S. Sharvin Raj, 21, V.G. Harvinther, 26, S. Richard Roy, 27, T. Kaviaraasu, 23, dan S. Jayakanthan, 29, diarah menjalani hukuman penjara itu dari tarikh mereka ditangkap pada 12 Sept 2009.

Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes itu.

Mereka didakwa melarikan dan mengurung Foo Kwai Sang, 54, bagi mendapatkan wang tebusan RM3 juta di Jalan Pulai 7, Taman Pulai Utama, Kangkar Pulai, di sini pukul 3.45 petang pada 9 Sept 2009.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Kamardin dalam penghakimannya berkata keputusan itu juga diambil setelah mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan serius yang dilakukan oleh ketujuh-tujuh tertuduh yang meminta wang tebusan daripada keluarga mangsa.

Kesemua tertuduh dan ahli keluarga masing-masing dilihat menangis sebaik sahaja keputusan itu dibacakan oleh Kamardin.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, R.K. Menon, Sheikh Salem, K. Chandrasegaran, R. Jegathesan dan Kumar Palanisamy. - Bernama

No comments:

Post a Comment