Saturday, February 25, 2012

pencuri kabel ditahan

Dua beranak peniaga barang lusuh ditahan


MOHD. Haris Daud (kanan) menunjukkan sebahagian barang-barang curi yang dirampas sambil diperhatikan Nasir Deraman (tengah) dan Nik Zamri Zakaria di Kuantan, semalam.


KUANTAN 24 Feb. - Polis percaya dapat menyelesaikan 41 kes curi bateri dan kabel milik syarikat telekomunikasi bernilai RM41,000 di negeri ini sejak tahun lalu ekoran penahanan dua beranak yang mengusahakan perniagaan barang lusuh di Kilometer 0.5 Lebuh Raya Tun Razak Kuantan dekat Muadzam Shah semalam.
Lelaki berusia 53 tahun dan anak lelakinya berusia 27 tahun itu memiliki lesen perniagaan yang sah dan telah beroperasi di situ sejak lima tahun lalu.
Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan Mohd. Haris Daud, serbuan dibuat pukul 4.30 petang oleh sepasukan anggota dari Unit Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, diketuai Inspektor Nasir Deraman.
Katanya, dalam serbuan tersebut, pihaknya berjaya menemui serta merampas sebanyak 19 buah bateri pelbagai saiz, 209 kilogram tembaga dan 1,500 kilogram kabel yang dipercayai dicuri.
"Kita percaya kabel dan bateri itu milik syarikat telekomunikasi di sini. Kita turut mengenal pasti pencuri-pencuri yang menjual barang-barang itu di premis terlibat," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di IPK Pahang, di sini hari ini.
Hadir sama, Asisten Supritendan Nik Zamri Zakaria dan Nasir.
Menurutnya, pihaknya akan berhubung dengan semua syarikat telekomunikasi dan utiliti termasuk Tenaga Nasional Berhad dan Jabatan Bekalan Air untuk membantu siasatan serta mengenal pasti barang-barang rampasan berkenaan.
"Kita percaya mereka pasti kenal dengan barang-barang milik mereka untuk membantu siasatan pihak polis," katanya.
Beliau mengingatkan semua pengusaha terlibat agar berhati-hati ketika membeli barangan terpakai dan menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya terdapat individu yang meragukan.
"Siasatan lanjut berhubung kes berkenaan masih dijalankan. Dua beranak terbabit kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

No comments:

Post a Comment