Wednesday, February 8, 2012

dikejut penyamun

'Ingat ayah yang kejutkan, rupa-rupanya pencuri'


Mangsa menunjukan kain batik dan pengecas komputer riba yang digunakan perompak untuk mengikat mangsa dalam satu kejadian rompakan di sebuah rumah di Jalan Parit Mahang, Ijok, Selangor, semalam.


KUALA SELANGOR 7 Feb. - "Saya ingat ayah yang kejut saya bangun, rupa-rupanya pencuri," kata Mohd. Aminudin Abd. Rahin, 20, ketika menceritakan detik cemas berhadapan dengan sekumpulan penyamun yang memecah masuk ke dalam rumahnya di Jalan Berkat, Kampung Parit Mahang di sini awal pagi ini.
Menurut pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara Seri Gading, Johor itu, dia terpaksa akur apabila salah seorang penyamun mengikat kedua-dua belah tangannya ke belakang dan menyuruhnya menuju ke ruang makan.
Katanya, ketika empat penyamun yang bersenjatakan parang itu memecah masuk ke dalam rumahnya kira-kira pukul 3 pagi, dia sedang tidur di bahagian ruang tamu.
Tambahnya, penjenayah tersebut juga mengejutkan semua ahli keluarga termasuk kedua-dua ibu bapanya, Rahim Din, 42, dan Noratimah Jamari, 42, serta empat lagi adiknya sebelum mengumpulkan mereka di ruang makan.
"Penjenayah itu mengikat kami kecuali ibu serta adik saya yang kecil dan mengarahkan kami diam. Mereka kemudian terus menggeledah rumah dan mengambil barangan berharga antaranya komputer riba, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai," kata Mohd. Aminudin ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Ekoran kejadian samun tersebut, polis menembak mati tiga daripada empat penjenayah bersenjatakan pistol dan parang dalam kejadian berbalas tembak di dalam ladang kelapa sawit di Jalan Parit Mahang, Ijok di sini awal pagi ini.
Seorang lagi penjenayah berjaya melarikan diri ke dalam hutan dan kini sedang diburu. Identiti kesemua suspek masih belum dikenal pasti memandangkan tiada dokumen pengenalan diri ditemui.
Mohd. Aminudin memberitahu, penjenayah itu juga meminta kunci kenderaan bapanya bagi mengambil sebuah telefon bimbit di dalamnya sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta, 20 minit kemudian.
"Selepas itu tiba-tiba timbul rasa berani hingga saya nekad mengejar penjenayah itu dengan menaiki motosikal tetapi gagal menjejaki mereka.
"Dalam perjalanan, saya terserempak dengan anggota polis yang kebetulan membuat rondaan, jadi saya terus melaporkan kejadian samun yang berlaku di rumah saya," katanya.
Mohd. Aminudin yang merupakan anak sulung daripada lima adik-beradik itu berkata, bapanya juga telah menghubungi pihak polis selepas kejadian samun tersebut dan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor dekat sini.
Katanya, ini adalah kali pertama rumahnya yang separuh kayu dan batu itu dipecah masuk oleh penjenayah sejak mereka sekeluarga menetap di situ.
"Sebelum ini, kawasan di sekitar rumah saya memang banyak kejadian pecah masuk dan pukau. Kali terakhir semasa hari raya tahun lepas tetapi tiada kejadian sedemikian berlaku selepas itu.
"Tidak sangka pula kali ini rumah saya yang kena. Saya bersyukur kerana kami sekeluarga tidak diapa-apakan walaupun barangan berharga kami dilarikan oleh penjenayah itu," katanya yang sepatutnya memulakan pengajian hari ini.

No comments:

Post a Comment