Polis buru geng Columbia cuba larikan ATM
KAJANG 3 Feb. - Polis sedang memburu sekumpulan lima lelaki warga Colombia setelah mereka gagal melarikan sebuah mesin juruwang automatik (ATM) dari sebuah pasar raya di Bandar Teknologi Kajang di sini Sabtu lepas.
Dalam kejadian itu, kelima-lima lelaki itu yang dipercayai pakar dalam sistem penggera bangunan cuba menarik keluar mesin ATM itu menggunakan kabel besi yang disambungkan kepada sebuah kenderaan MPV buatan China.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, cubaan mereka pada kira-kira 1.10 pagi itu dilihat anggota polis kereta peronda yang lalu di situ menyebabkan mereka melarikan diri tetapi seorang dapat diberkas.
"Lelaki yang ditangkap polis itu berusia 35 tahun memberitahu mereka adalah warga Columbia," katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah Kajang hari ini.
Ab. Rashid berkata, polis menahan reman lelaki itu dari Sabtu sehingga Rabu lalu tetapi ditahan semula mengikut Akta Imigresen sehingga 15 Februari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.
Dalam pada itu, polis Kajang juga menahan empat orang anggota geng Topoi yang terlibat aktif dalam kegiatan menyamun termasuk sebuah kedai serbaneka 7-Eleven di bandar ini Jumaat lepas.
Katanya, kesemua mereka berumur antara 21 hingga 64 tahun itu biasanya menyamun rokok dan wang menggunakan parang serta pisau sebagai senjata.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan itu terlibat dalam empat kes samun kedai 7-Eleven dan mereka mungkin terlibat lebih daripada 10 kes sejak tahun lepas. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment