Wednesday, May 23, 2012

penyamun

Nyawa dihujung tanduk
MOHD AZLIM ZAINURY
22 Mei 2012
Rohanita menunjukkan pintu hadapan rumahnya yang diumpil kumpulan penyamun terbabit.
Rohanita menunjukkan pintu hadapan rumahnya yang diumpil kumpulan penyamun terbabit.
MARANG – Empat penyamun bertopeng dan bersenjatakan kayu, pisau serta pemutar skru berjaya melarikan barangan kemas seperti gelang, rantai dan wang tunai serta telefon bimbit berjenama dalam kejadian samun di Binjai Bongkok, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, pasangan suami isteri, Rohanita Gani, 38, dan Mohd Sukri Sihat, 48, mengalami kerugian kira-kira RM50,000.

Rohanita berkata, sewaktu kejadian, dia dan suaminya itu sedang tidur di bilik utama rumah banglo dua tingkat berkenaan, manakala lima anak mereka berusia antara 3 hingga 15 tahun tidur di dalam bilik berasingan iaitu di tingkat atas dan bawah rumah itu.

Menurutnya, dia dan suami terkejut selepas melihat kelibat suspek yang tiba-tiba muncul di dalam bilik tidur mereka selepas kumpulan penyamun itu dipercayai merosakkan pagar dan mengumpil pintu rumah mereka untuk masuk.

“Sebaik membuka mata, saya terlihat orang memakai topeng berada dalam bilik, mengarahkan kami diam dan mengikut arahan sebelum tangan saya diikat dengan wayar pengecas telefon, manakala tangan suami diikat dengan wayar seterika.

“Kumpulan lelaki bertopeng itu kemudiannya mengarahkan kami ke bilik anak di tingkat atas dan bawah lalu mengikat tangan dua anak kami, manakala tangan tiga lagi anak kami berusia 3 hingga 5 tahun tidak diikat,” katanya.

Arah tunjuk tempat simpan barang berharga

Menurut Rohanita, ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, kumpulan penyamun terbabit kemudiannya mengarahkan mereka sekeluarga berkumpul setempat di dalam rumah itu.

Roshanita berkata, penyamun itu kemudian mengarahkan mereka untuk menunjukkan tempat simpanan barang-barang berharga jika tidak mahu dicederakan sebelum mengambil barang kemas dipakai, wang tunai termasuk empat unit telefon bimbit berjenama.

“Mereka (penyamun) turut menyelongkar keseluruhan rumah ini sebelum beredar sekitar jam 2.30 pagi selepas berada di dalam rumah lebih kurang sejam, manakala ikatan tangan kami pula berjaya dibuka tidak lama kemudiannya.

“Sebaik ikatan dibuka, suami terus menghubungi pihak berkuasa. Saya bersyukur kerana kami sekeluarga tidak diapa-apakan. Kejadian itu sungguh menakutkan. Nyawa kami ibarat di hujung tanduk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan, Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.

No comments:

Post a Comment