Lelaki parah ditembak, ditetak dua lelaki
KOTA BHARU 3 Mei - Seorang lelaki parah selepas ditembak beberapa kali di betis kanan, selain ditetak di kepala dan pergelangan tangan kanan oleh dua lelaki tidak dikenali berhampiran rumahnya di Taman Sentosa Jaya, Badang di sini hari ini.Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi, mangsa, Mohd. Nasrul Alimi Mohamad, 34, baru hendak memasuki kereta Honda Jazz miliknya selepas membeli gula-gula dan kad prabayar di kedai runcit bersebelahan rumahnya apabila dua lelaki memakai jaket hitam dan bertopi keledar muncul lalu melepaskan tembakan.
Pemilik kedai runcit tersebut, Azizah Yusof, 49, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, mangsa ketika itu betul-betul berada di depan kedainya apabila dia dikejutkan dengan bunyi tiga das tembakan.
"Saya tanya Abe Yo (nama panggilan mangsa) apa yang terjadi, kemudian saya keluar untuk melihat dan masa itu saya dapati dia sudah terbaring kesakitan sambil dua lelaki pula sedang menetaknya.
"Saya bersama seorang anak saya ketika itu. Apabila penjenayah itu melihat kami, seorang daripadanya menghayun parang ke arah saya, manakala seorang lagi mengacukan pistol ke muka anak saya sebagai amaran agar kami tidak masuk campur," katanya.
Menurut Azizah, sebaik sahaja kejadian yang berlaku terlalu pantas itu selesai, dia melihat dua lelaki berkenaan segera menaiki sebuah kereta Perodua Kelisa berwarna perak yang sedang menunggu di tepi kedai runcitnya lalu melarikan diri.
"Saya tidak sempat melihat nombor pendaftaran kereta itu kerana terlalu takut dan kami hanya menjerit meminta tolong.
"Masa itu mangsa hanya menjerit kesakitan dan salah seorang jiran saya segera menghantarnya ke klinik berdekatan sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II," ujarnya.
Sementara itu, isteri mangsa, Ira Shamimi Shamsuddin Abdullah, 24, tidak menyangka mangsa tembakan itu adalah suaminya sendiri.
"Saya di dalam rumah ketika terdengar bunyi tembakan dan orang menjerit, lalu segera menelefon suami saya untuk memberitahu mengenai kejadian itu.
"Saya sangat terkejut apabila suami saya memberitahu dialah sebenarnya yang ditembak dan sedang dalam perjalanan ke hospital dan saya juga tidak tahu apa motif mereka menembaknya," katanya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) pula memberitahu, sepasukan polis dari unit forensik segera ke tempat kejadian dan telah menemui sepucuk pistol berwarna perak, empat kelongsong peluru dan sebutir peluru.
"Punca kejadian masih belum dikenal pasti dan polis sedang mendapatkan maklumat mengenai kisah lampau mangsa serta melakukan gerakan memburu suspek," katanya.
No comments:
Post a Comment