Gagalkan cubaan culik adik
22 Mei 2012
Dalam kejadian di Kampung Pulau Mertajam di sini petang kelmarin, Nur Hazwani Marzukhi, 15, mengejar motosikal ditunggang lelaki berkenaan sejauh 50 meter sambil melaungkan perkataan ‘pulangkan adik aku’ berulang kali, membuatkan penculik itu panik sebelum mencampakkan Nur Haifa untuk melarikan diri.
Biarpun adiknya kini trauma dan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan kerana terkena besi pagar selepas dicampak penculiknya, namun Nur Hazwani bersyukur kerana dia berjaya mengelak kejadian lebih buruk yang bakal menimpa adik perempuan kesayangannya itu.
Kejadian pada jam 5 petang kelmarin itu disedari oleh Nur Hazwani apabila terdengar suara lelaki tidak dikenali memujuk adiknya menaiki motosikal untuk ke kedai membeli ais krim ketika dia berada di bahagian dapur rumah mereka.
“Ketika itu adik sedang bermain pasir bersama empat sepupu lelakinya yang berusia antara tiga hingga lapan tahun di bahagian tepi rumah bapa saudara bersebelahan rumah kami.
“Saya terus berlari keluar selepas mendengar enjin motosikal dihidupkan kerana bimbang adik saya itu akan mengikuti lelaki berkenaan kerana selain gemarkan ais krim dia juga peramah dengan sesiapa sahaja termasuk dengan orang tak dikenali,” katanya.
Menurutnya, ketika kejadian, emaknya, Rozita Md Suhud, 46, berada di dalam rumah bersama dua kakaknya yang lain, manakala bapanya, Marzukhi Omar, 55, keluar ke pekan Penaga.
Nur Hazwani yang belajar dalam tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di sini berkata, sangkaannya tepat kerana sebaik menjenguk keluar melalui pintu, dia sempat melihat adiknya itu diangkat oleh lelaki berkenaan dan diletakkan di dalam raga di bahagian hadapan motosikalnya sebelum memecut laju mengikuti jalan belakang.
Nur Hazwani berkata, dia tidak dapat melihat wajah suspek kerana lelaki berkenaan memakai topi keledar bercermin gelap dan mendapati motosikal yang digunakannya jenis Honda EX5.
“Selepas menyedari adik dilarikan, saya kemudiannya bertindak berteriak ‘pulangkan semula adik aku’ berulang kali sambil mengejar lelaki berkenaan sejauh 50 meter.
“Teriakan saya didengari oleh penduduk kampung yang turut mengejar lelaki berkenaan untuk menangkapnya,” kata anak kelima kakitangan Jabatan Perikanan itu.
Mujur nasib menyebelahi mereka, semasa lelaki berkenaan cuba membelok ke kiri untuk menghala ke jalan besar, sebuah kereta milik penduduk kampung berkenaan turut memasuki jalan tar mini berkenaan menjadikan ruang laluan itu sempit dan menyukarkan motosikal lelaki berkenaan melepasinya.
“Merasakan dirinya terkepung, lelaki itu kemudiannya mengangkat adik saya dari raga motosikalnya dan mencampakkannya di tepi pagar sekolah sebelum melarikan diri.
“Usaha penduduk kampung untuk menangkapnya tidak berjaya dan selepas memaklumkan kepada bapa, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) sejurus selepas itu,” katanya.
Menurutnya, adiknya kemudian dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas selepas mengalami kecederaan akibat dicampak oleh lelaki yang cuba menculiknya.
Sementara itu saksi kejadian, bapa saudara mereka, Ahmad Shaari, 73, berkata, dia bergegas keluar dari rumah selepas mendengar Nur Haifa bersetuju mengikuti lelaki berkenaan untuk ke kedai membeli ais krim biarpun ditegah beberapa kali oleh sepupunya yang turut bermain bersamanya di bahagian tepi rumahnya petang kelmarin.
“Dalam keadaan bertongkat kerana mengalami masalah sendi, saya tidak sempat menghalang tindakan lelaki berkenaan melarikan anak saudara saya itu tapi bersyukur kerana insiden itu turut disedari oleh Nur Hazwani yang mengambil tindakan bijak mengejar lelaki berkenaan kemudiannya.
“Jika terlepas tak tahulah apa akan terjadi pada Nur Haifa,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Zulkifli Alias berkata, pihaknya mengesahkan kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut kerana masih menjalankan siasatan.
“Biarlah pihak kita memperoleh maklumat lengkap terlebih dahulu dalam usaha mengesan suspek terbabit untuk melengkapkan siasatan.
“Apa pun kita suka mengingatkan orang ramai mengawasi anak masing-masing dan membuat laporan segera berkaitan kehadiran orang tak dikenali di kawasan kejiranan mereka bagi mengekang insiden sama daripada berulang,” katanya.
No comments:
Post a Comment