Guna cincin untuk menyamun
Kegiatan mereka terbongkar apabila salah seorang daripada suspek berumur 25 tahun itu ditahan ketika lima anggota polis bermotosikal sedang menjalankan rondaan di sekitar Bangsar kira-kira pukul 6 petang pada 22 April lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, anggota polis tersebut terserempak dengan kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z dalam keadaan mencurigakan.
"Terkejut melihat kehadiran anggota polis, suspek cuba memecut lari menyebabkan polis terpaksa mengejar mereka.
"Kira-kira satu kilometer selepas itu, motosikal yang dinaiki suspek tiba-tiba terjatuh. Salah seorang suspek kemudian bangun lalu melarikan diri manakala rakannya yang menunggang motosikal berjaya ditahan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini.
Tambahnya, hasil pemeriksaan menemui lima buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebilah parang yang dibalut dengan bendera Malaysia serta sebentuk cincin yang digunakan untuk melakukan kegiatan samun kereta.
"Siasatan awal mendapati cincin itu digunakan untuk memecahkan cermin kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat.
"Selepas itu, suspek bertindak menyamun dan membawa lari barangan berharga milik mangsa," katanya yang turut memaklumkan suspek dipercayai terlibat dengan 10 kes samun sebelum ini.
Katanya, pihaknya masih menjalankan operasi bagi mengesan rakan suspek yang melarikan diri.
No comments:
Post a Comment