Kakak saya dianiaya lelaki warga Afrika - Adik
KUALA LUMPUR 21 Mei - Kira-kira lapan tahun lalu, seorang wanita dikenali sebagai Punitha, sering dilihat menjalankan khidmat sukarela menjaga bayi di sebuah pusat ibadat di ibu negara.Bagaimanapun nasib malang menimpa wanita berusia 55 tahun itu apabila dia menjadi keldai dadah selepas terpedaya dengan pujukan satu sindiket penyeludupan dadah dipercayai warga Afrika ketika berada di Peru.
Dia sebelum itu mengikut satu keluarga rakyat tempatan untuk bekerja sebagai pengasuh bayi di Ireland, namun dihalau selepas bekerja selama dua tahun.
Menurut adik mangsa, Bala Ganapathy, 50, kakaknya mengenali keluarga tersebut di sebuah pusat ibadat apabila dia sering turun ke tempat itu untuk bekerja secara sukarela sebagai penjaga bayi.
"Dalam tempoh dua tahun Punitha menjaga bayi keluarga tersebut, dia dilayan dengan baik namun, situasinya berubah apabila tercetus pergaduhan antara ahli keluarga tersebut.
"Ekoran itu, Punitha bukan sahaja dihalau keluar malah, dokumen miliknya seperti pasport juga tidak dipulangkan," katanya pada sidang akhbar di pejabat Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Tambahnya, sejak tinggal sebatang kara, pelbagai pekerjaan yang dilakukan kakaknya sehingga dia diperkenalkan kepada seorang lelaki warga Afrika yang menawarkan pekerjaan untuk membawa sebuah beg pakaian berisi baju T ke Peru.
"Di Peru, kakak saya ditahan selepas pihak berkuasa di sana menemui sejumlah dadah disembunyikan dalam beg dibawanya.
"Ekoran kejadian itu, dia dipenjarakan di Peru selama empat tahun," katanya.
Beliau memberitahu, pada masa ini, dia hanya menunggu masa untuk dibawa pulang dan berharap kembali ke pangkuan keluarga secepat mungkin.
No comments:
Post a Comment