Orang ramai gagalkan cubaan samun RM520,000
HULU LANGAT 25 Jan. - Tindakan berani orang ramai membelasah dua penyamun, berjaya menggagalkan cubaan mereka untuk melarikan satu karung wang tunai RM520,000 daripada pengawal van keselamatan di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Bandar Baru Bangi di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.40 pagi itu, seorang suspek berjaya diberkas orang ramai manakala rakannya ditahan polis di Rawang, pukul 6 petang, walaupun dapat melarikan diri dalam insiden itu.
Kejadian bermula ketika dua pengawal keselamatan terlibat memunggah satu karung beg hijau berisi wang tunai hasil kutipan mingguan dari sebuah pasar raya berdekatan.
Tiba-tiba, dua lelaki yang menunggang motosikal Yamaha 125Z bersenjatakan pistol menghampiri mereka lalu cuba merampas beg berkenaan sebelum berlaku pergelutan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, salah seorang suspek kemudian bertindak memukul kepala pengawal itu dengan pistol dipercayai tiruan berdasarkan keadaannya yang pecah.
"Orang awam yang melihat kejadian itu bertindak membelasah suspek. Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka berjaya melarikan diri dengan motosikal ditunggang mereka sebelum itu.
"Polis yang tiba di tempat kejadian telah menahan suspek pertama," katanya di sini hari ini.
Jelas Ab. Rashid, hasil maklumat yang diperolehi, pihak polis berjaya menahan suspek kedua di Rawang.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 394/511 kerana melakukan samun dan mendatangkan kecederaan.
Thursday, January 26, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment