Pegawai rugi RM50,000, 45 jongkong perak dicuri
PUTRAJAYA 25 Jan. - Seorang pegawai kerajaan kerugian lebih RM50,000 selepas rumahnya di Presint 8 di sini dipecah masuk penjenayah yang melarikan 45 jongkong perak miliknya yang disimpan dalam sebuah peti besi.
Mangsa berusia 34 tahun yang enggan dikenali memberitahu, ketika kejadian, dia bersama isteri dan dua anaknya tiada di rumah kerana bercuti ke Pulau Langkawi bermula 18 Januari lalu sehingga semalam.
Katanya, ketika pulang ke rumah tengah hari semalam, dia menyedari kediamannya itu telah dipecah masuk dan dalam keadaan berselerak.
"Saya kemudian memeriksa bilik dan mendapati peti besi yang menyimpan 45 jongkong perak itu telah hilang.
"Sebanyak 42 daripada jongkong itu masing-masing seberat 250 gram manakala tiga lagi seberat satu kilogram setiap satu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Mangsa memberitahu, dia membeli jongkong perak tersebut dari sebuah syarikat sejak Ogos lalu untuk pelaburan masa depan.
"Selain jongkong perak, saya turut membeli jongkong emas. Bagaimanapun jongkong emas tersebut disimpan di dalam bank.
"Jongkong perak murah dibeli namun nilainya tinggi jika dijual, harga pasaran bagi sekilogram perak ialah RM3,600," katanya.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan polis mendapati terdapat kesan umpil di pintu rumah mangsa.
Thursday, January 26, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment