Gagal curi motosikal, kereta
January 24, 2012
Mekanik, Mat Ju berkata, dia ternampak kelibat seorang lelaki, dalam lingkungan 30-an, sedang memanjat pagar seterusnya bersembunyi di sebalik semak berdekatan kedai membaiki dan membasuh kereta.
Mat Ju yang juga pekerja di kedai berkenaan berkata, suspek terus berlari ke kedai membaiki kenderaan dan cuba membuka kereta Perodua Kancil yang diletakkan di sana.
“Melihatkan keadaannya yang mencurigakan, saya cuba bertanya, tetapi dia mengaku kereta Kancil berkenaan merupakan milik adiknya, tetapi dia terlupa untuk membawa kunci.
“Selepas gagal mengambil kereta, dia cuba mengambil motosikal Kriss Modenas yang diletakkan di kedai membasuh kereta,” katanya, semalam.
Mat Ju berkata, dia menghalang dan cuba menangkap suspek, tetapi suspek berjaya merlarikan diri ke arah sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan.
Sementara itu, Ketua SRS Banggol Perdana, Shafie Awang berkata, pihaknya mendapati suspek sekali lagi cuba mencuri motosikal untuk cubaan kali ke tiga, berdekatan bangunan tersebut.
Menurutnya, selepas mendapat halangan daripada orang ramai, dia melarikan diri di kawasan bendang dan menyembunyikan diri selama kira-kira 20 minit.
“Seramai 20 anggota SRS dan penduduk kampung mengepung kawasan itu dan memulakan operasi mencari suspek di setiap pelusuk kawasan.
“Kita menjumpainya bersembunyi di sebalik semak dan suspek kelihatan seperti dalam keadaan berkhayal, mata kemerahan serta tidak mampu untuk berdiri dengan stabil,” katanya.
Berdasarkan makluman orang ramai, pasukan SRS Banggol Perdana berjaya menahan lelaki berkenaan, seterusnya diserahkan kepada pihak polis.
No comments:
Post a Comment