Wednesday, November 17, 2010

Penyamun Remaja



Atuk tembak mati perompak remaja
Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


SIASAT...anggota Unit Forensik polis menjalankan siasatan di rumah mangsa, semalam.
PETALING JAYA: Cemas melihat dua cucunya diacu dengan parang, seorang datuk bertindak pantas mengambil senapang patah sebelum melepaskan tembakan ke arah seorang perompak berusia 17 tahun yang menceroboh rumah teres dua tingkat milik mereka di Sungai Way, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi, lelaki berusia 70 tahun itu yang juga bekas mandur estet berada di tingkat atas rumahnya apabila terdengar bunyi bising di tingkat bawah sebelum terlihat seorang remaja lelaki mengacukan parang kepada pembantu rumah serta dua cucunya berusia lapan dan 10 tahun.


Warga emas itu masuk ke biliknya untuk mengambil selaras senapang patah dan ketika bergegas turun dia terserempak suspek yang pada masa sama menaiki tangga untuk ke tingkat atas.

Dengan pantas, dia melepaskan dua das tembakan dan satu daripadanya mengenai rusuk remaja itu sebelum rebah di atas tangga.


Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin, berkata perompak remaja yang terkena tembakan itu mati ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).


Menurutnya, ketika kejadian ada lima penghuni dalam rumah itu iaitu lelaki warga emas berkenaan, anak lelaki dan dua cucunya serta seorang pembantu rumah.


“Siasatan awal mendapati lima suspek terbabit kes itu. Tiga daripada mereka menunggu dalam kereta sementara seorang berkawal di pintu rumah. Hanya remaja yang mati ditembak itu masuk ke rumah.


“Sebaik memasuki rumah, remaja itu mengacu parang kepada pembantu rumah serta mengugut untuk membunuh dua kanak-kanak yang ketika itu berada di tingkat bawah sekiranya bapa kanak-kanak terbabit enggan memberi kerjasama menyerahkan barang berharga kepadanya,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Khaw berkata, selepas perompak remaja itu ditembak pemilik rumah menggunakan senapang patah miliknya, rakannya yang berkawal di pintu rumah segera lari masuk ke dalam kereta bersama tiga rakan yang lain sebelum memecut meninggalkan tempat kejadian.


Sehubungan itu, katanya, polis kini giat memburu keempat-empat suspek terbabit yang dipercayai berusia antara 17 dan 20 tahun.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata,” katanya.


Sementara itu, ibu suspek yang ditembak meraung ketika datang menuntut mayat anak sulungnya itu di PPUM di sini, petang semalam.


Wanita berusia 40 tahun itu memberitahu dia tidak menyangka anaknya terbabit kegiatan samun berkumpulan berikutan selama ini dia diberitahu anaknya bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel kenderaan.


Menurutnya, dia cuba menghubungi anaknya kira-kira jam 11 pagi semalam, namun panggilannya tidak dijawab menyebabkan dia menghantar SMS bagi mengetahui keadaan anaknya itu.


“Saya amat terkejut apabila polis datang ke rumah dan memberitahu anak saya mati ditembak kerana melakukan rompakan.


“Saya sedih kerana suami saya masih meringkuk di penjara selepas terbabit kes pukul dan kini anak saya terbabit kes jenayah,” katanya.

No comments:

Post a Comment