Wednesday, November 17, 2010
Maut Pecah Rumah
Remaja pecah masuk rumah mati ditembak
ANGGOTA polis memeriksa kediaman di mana seorang remaja ditembak mati di Jalan SS8/8, Kelana Jaya, semalam.
PETALING JAYA 16 Nov. - Seorang bekas penyelia ladang berusia 70 tahun bertindak berani apabila menembak mati seorang suspek berusia 17 tahun dengan senapang patahnya ketika remaja itu memecah masuk rumahnya di Jalan SS8/8, Kelana Jaya, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 9.40 pagi, suspek bertindak memecah masuk dengan mengumpil pintu rumah dua tingkat tersebut bersama seorang rakannya manakala tiga lagi rakan mereka menunggu di luar rumah.
Kesemua suspek dipercayai berusia lingkungan 17 tahun hingga 20-an yang aktif melakukan jenayah samun di sekitar Lembah Klang.
Salah seorang suspek yang bersenjatakan parang menawan tiga ahli keluarga mangsa dan orang gaji di tingkat bawah manakala seorang lagi naik ke atas bilik mangsa.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin berkata, mangsa yang menyedari kejadian itu, mengambil senapang patah miliknya lalu melepaskan dua das tembakan.
"Satu tembakan tersasar manakala satu lagi mengenai rusuk suspek. Suspek yang dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya meninggal dunia ketika dalam perjalanan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambah Kok Chin, rakan suspek yang menunggu di tingkat bawah terkejut mendengar bunyi tembakan itu lalu melarikan diri bersama rakan-rakannya dengan menaiki sebuah kereta.
Katanya, ketika melarikan diri, suspek berjaya mengambil satu telefon bimbit dari dalam rumah terbabit.
Beliau berkata, pihaknya sedang memburu rakan-rakan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment