Thursday, November 25, 2010
Inisiatif
Inisiatif Desa Selamat tangani jenayah
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my
PELAJAR SMK Jengka Pusat yang memperagakan uniform lama pasukan polis pada Karnival Nilai Murni Cegah Jenayah di Bandar Jengka Maran, Pahang, baru-baru ini. –UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
KUALA KRAU 24 Nov. - Pelbagai usaha dijalankan bagi membendung kegiatan jenayah daripada terus berleluasa dan menghantui penduduk.
Mengharapkan kepada pihak polis semata-mata untuk menangani masalah tersebut bukan satu langkah yang berkesan jika tiada sokongan masyarakat keseluruhannya.
Justeru, salah satu usaha yang dijalankan adalah dengan mewujudkan Inisiatif Desa Selamat yang bertujuan menangani kegiatan jenayah di kawasan penempatan dengan kerjasama pelbagai pihak.
Sejajar dengan pelancaran Inisiatif Desa Selamat peringkat negeri Pahang baru-baru ini, satu program iaitu Karnival Nilai Murni Cegah Jenayah yang diadakan di Stadium Mini Nadi Kota, Bandar Jengka memberi suntikan baru kepada masyarakat untuk bergabung tenaga menangani jenayah.
Karnival selama tiga hari anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Maran itu bertujuan mewujudkan masyarakat penyayang di samping memupuk tanggungjawab mencegah jenayah tanggungjawab bersama.
Karnival yang julung-julung kali diadakan di Bandar Jengka ini menarik lebih 10,000 pengunjung yang terdiri daripada pelajar sekolah, warga Felda dan penduduk setempat.
Sepanjang karnival itu berlangsung, pelbagai aktiviti dilaksanakan seperti sukaneka, forum perdana, pameran, senamrobik, ceramah motivasi, pertunjukan pancaragam, T-Batton dan K9 (Unit Pencegahan PDRM).
Karnival itu dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ahmad Johari Shahabuddin dan Naib Pengerusi MCPF, Datuk Kamarudin Md. Ali.
Menurut Ahmad Johari, objektif karnival itu bagi merealisasikan inisiatif kerajaan dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu mengurangkan kadar jenayah.
Program itu, katanya, merupakan salah satu usaha ke arah toleransi sifar terhadap jenayah dengan menjadikan suasana persekitaran selamat sebagai matlamat dalam komuniti.
‘‘Karnival ini juga bermatlamat membaik pulih nilai-nilai murni di kalangan masyarakat terutama generasi muda bagi menyelesaikan pelbagai masalah jenayah yang berleluasa sejak akhir-akhir ini.
‘‘Di samping itu, ia dapat membudayakan pengetahuan mengenai pencegahan jenayah sebagai amalan hidup seharian dan memelihara serta memupuk nilai-nilai murni dalam diri agar dapat diguna sebagai perisai kepada pelbagai masalah sosial dan jenayah,‘‘ katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sementara itu, Kamarudin berkata, pihaknya akan memperluaskan Inisiatif Desa Selamat ke semua daerah di negeri ini sebagai kaedah mengukuhkan nilai murni dan menyelesaikan masalah jenayah membabitkan komuniti.
Menurut beliau, inisiatif itu telah dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh, Johor pada 7 Ogos lalu sebagai pemangkin pelaksanaannya ke seluruh negara.
Katanya, Maran merupakan daerah kedua selepas Pagoh melaksanakan program Inisiatif Desa Selamat bagi mengukuhkan nilai-nilai murni di kalangan penduduk yang kian terhakis akibat arus pemodenan dan urbanisasi.
‘‘Inisiatif Desa Selamat dipengerusikan ketua polis daerah yang dianggotai ketua komuniti seperti penghulu, ketua kampung dan organisasi keselamatan seperti Rukun Tetangga, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan persatuan penduduk.
‘‘MCPF menggerakkan usaha ini yang mengandungi aktiviti yang dirancang membabitkan pihak polis dan orang ramai dalam komuniti untuk bersama-sama menyelesaikan masalah setempat yang berkaitan dengan jenayah.
‘‘Pada masa sama semua penduduk dalam komuniti perlu berusaha mewujudkan persekitaran fizikal yang boleh menangani jenayah sekali gus mencegah kegiatan jenayah lebih awal,‘‘ katanya.
Menurutnya, pendekatan Inisiatif Desa Selamat adalah untuk mencari penyelesaian masalah dalam konteks keperluan penduduk tempatan kerana mereka lebih mengetahui mengenai situasi kawasan kediaman masing-masing.
Pendekatan itu juga, jelasnya, warga penduduk diiktiraf sebagai golongan yang dapat memainkan peranan secara langsung mencegah jenayah kerana ia selari dengan konsep ‘mencegah lebih baik daripada mengubati.’
‘‘Inisiatif Desa Selamat ini juga mengiktiraf keselamatan desa sebagai sebahagian daripada dasar awam yang terpenting dalam kehidupan untuk meningkatkan keselamatan bersama,‘‘ katanya.
Menurut Kamarudin, Inisiatif Desa Selamat juga bermaksud membina hubungan baik sesama penduduk berbilang kaum dengan berlandaskan nilai-nilai murni di samping dapat memperkukuhkan konsep kejiranan.
Tambah beliau, komuniti selamat dapat meningkatkan kualiti kehidupan seperti keselamatan untuk orang ramai, pengurangan kadar jenayah, peningkatan produktiviti, daya saing dan penurunan dalam pelbagai kos sosial.
Tegasnya, membudayakan pencegahan jenayah amat penting bagi mencapai matlamat komuniti selamat apabila keselamatan rakyat didahulukan dan diutamakan seiring gagasan 1Malaysia yang mewujudkan negara selamat, sejahtera dan bersatu padu.
‘‘Dengan memperkasakan nilai-nilai murni ini, kebarangkalian untuk menyelesaikan pelbagai kepincangan sosial di negara ini adalah lebih tinggi sekali gus mendidik rakyat menjadi ahli yang proaktif untuk mencegah jenayah,‘‘ katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment