Thursday, November 18, 2010

Jenayah Depan Rumah

Peguam mati dibunuh depan rumah

IPOH 17 Nov. - Seorang peguam mati selepas diserang empat lelaki bersenjatakan pisau Rambo di depan rumahnya di Taman Desa Rishah, Buntong, di sini semalam.

Mangsa, G. Balasumdram, 57, yang cedera parah di badan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pukul 9 malam, selepas kira-kira empat jam menerima rawatan.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Zakaria Yusof berkata, kejadian berlaku sebaik sahaja mangsa turun daripada keretanya selepas pulang dari pejabat.

Katanya, isteri mangsa, L. Pusphalatha, 48, yang mendengar bunyi bising berlari keluar rumahnya sebelum menemui Balasumdram berlumuran darah.

"Mangsa dikejarkan ke HPRB namun meninggal dunia semasa dirawat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zakaria menambah, keempat-empat suspek itu kemudian melarikan diri dengan dua buah motosikal.

"Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan belum ada sebarang tangkapan setakat ini," katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di talian 05-2451222 untuk membantu siasatan.

Mangsa meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki, G. Somaskanthar yang berusia lima tahun.

Sementara itu, adik mangsa, G. Kamala, 48, ketika ditemui di HRPB malam semalam berkata, kali terakhir dia berjumpa Balasumbram adalah pada perayaan Deepavali lalu.

Katanya, mangsa merupakan anak kedua daripada lima adik-beradik.

Sementara itu, jiran Balasumdram, S. Elizabeth berkata, dia nampak mangsa ditikam oleh empat lelaki bertopeng semasa turun daripada keretanya.

"Saya tinggal bertentangan dengan rumah mangsa dan bergegas datang untuk memberikan bantuan setelah mendengar dia menjerit.

"Mangsa meminta saya memanggil ambulans dan selepas itu dia tidak sedarkan diri," katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment