Thursday, November 4, 2010

Cuai

RM45,000 lesap dalam 2 kejadian samun

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Sikap cuai seorang pengarah projek binaan meninggalkan RM20,000 dalam kereta untuk keluar bekerja di tapak projek Penjara Pudu di sini, kelmarin mengundang padah apabila wang itu dilarikan penjenayah.

Mangsa yang berusia 46 tahun meletakkan wang tersebut di ruang khas dalam kenderaan pacuan empat rodanya pukul 3.45 petang.

Sumber polis berkata, mangsa yang terlibat dalam projek pembinaan di tapak Penjara Pudu hanya menyedari kehilangan wang tersebut semasa kembali ke keretanya pada pukul 4.30 petang.

"Selesai tugas di tapak projek, pengarah itu pergi mengambil keretanya untuk pulang namun terkejut apabila mendapati cermin hadapan kenderaannya pecah.

"Hasil pemeriksaan mendapati wang RM20,000 yang disimpannya sudah hilang," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut sumber, pengawal keselamatan yang bertugas di tempat letak kereta di situ memaklumkan tidak melihat sesiapa yang mencurigakan menghampiri kenderaan mangsa.

Katanya, polis percaya penjenayah telah mengekori mangsa yang sebelum itu, mengeluarkan wang dari sebuah bank di USJ Subang Jaya.

Dalam kes lain, sumber berkata, seorang ahli perniagaan mengalami nasib sama selepas mengeluarkan wang RM25,000 dari sebuah bank di Jalan Ampang.

"Kejadian berlaku pukul 1.30 petang semasa mangsa memberhentikan keretanya di tepi jalan kerana tayar pancit akibat terkena paku dipercayai sengaja diletakkan oleh suspek.

"Mangsa berusia 60-an sebelum itu membuat pengeluaran wang di Menara RHB sebelum memandu untuk pulang ke rumahnya di Wangsa Maju," katanya.

Menurutnya, ketika mangsa melalui terowong di Jalan Tun Razak dia mendapati tayar keretanya pancit lalu berhenti untuk menukar tayar tersebut.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun terpaksa menghubungi isterinya untuk datang ke situ kerana dia tidak membawa peralatan diperlukan.

"Sejurus isterinya tiba di tempat kejadian, mangsa segera menukar tayar keretanya. Kesempatan itu digunakan suspek yang menaiki motosikal untuk melarikan wang yang diletakkan di tempat duduk belakang," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment