Senjata lawan penjenayah
2010/09/23
SESIAPA juga berupaya melakukan jenayah tanpa mengira umur, agama, bangsa dan taraf pendidikan sama ada jenayah dilakukan itu besar atau kecil.
Namun, lebih ramai memilih untuk tidak meneruskan niat kerana proses pemikiran mereka melalui beberapa tapisan seperti dimensi moral, perspektif agama dan kesedaran sivik.
Malah individu yang melakukannya memilih melakukan jenayah tertentu dengan kaedah tersendiri mengikut acuan serta tahap kepuasan yang mahu dikecapi mereka, demikian menurut penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim mengenai perilaku penjenayah dewasa ini. Bagaimanapun katanya, pemilihan senjata yang digunakan penjenayah ketika melakukan kekerasan terhadap mangsa bergantung kepada perancangan perlakuan jenayah itu. Jika sesuatu jenayah itu sudah dirancang, persiapan dan persediaan yang cukup akan dilakukan oleh penjenayah bagi mencapai maksud jenayahnya. Ada berpendapat individu harus membawa sesuatu sebagai senjata untuk mempertahankan diri. Namun menurutnya, senjata yang boleh melindungi mangsa bergantung kepada kecekapan tindakan seseorang. Dalam hal ini, apa saja boleh dijadikan senjata termasuk diri sendiri.
Tetapi senjata yang paling baik adalah kebolehan mengelak risiko jenayah daripada berlaku. "Pemilihan senjata bergantung kepada beberapa keadaan. Misalnya senjata yang memang kebetulan berada dalam capaian penjenayah seperti seterika, air panas, besi dan kayu. Ini termasuk juga pakaian, tali beg tangan atau apa saja yang boleh membantu semasa perlakuan itu dibuat. "Dalam kes keganasan rumah tangga atau penderaan misalnya, letusan kemarahan yang berlaku secara tiba-tiba itu menyebabkan penjenayah menggunakan objek domestik sebagai senjata. "Dalam kes rogol pula, penjenayah datang dengan persediaan yang cukup. Begitu juga dalam kes pembunuhan terancang, penjenayah menggunakan peralatan yang sememangnya dirancang untuk membunuh mangsa," jelasnya. Dalam hal ini menurut Kamal, wanita, kanak-kanak, orang tua serta mereka yang kurang upaya lebih mudah menjadi sasaran kerana terdapat sedikit saja rintangan daripada mangsa yang menyebabkan penjenayah boleh melakukan apa saja ke atas mangsa. "Seorang wanita dan lelaki misalnya, walaupun mempunyai ketinggian, ukuran dan berat badan yang sama, namun kekuatannya tidak sama. Ini dipanggil disparity of force. "Justeru, golongan ini yang dikatakan lemah dipilih berdasarkan keupayaan mereka untuk melawan penjenayah sangat tipis," katanya. Dia turut menasihati orang ramai terutama kumpulan sasaran ini supaya mengetahui dan mengurus risiko diri sama ada ketika bersendirian ataupun berkumpulan. Selain itu, masyarakat hendaklah mengambil bahagian dalam menghadiri bengkel pencegahan jenayah dan bukan hanya hadir semasa pelancarannya saja. Ini sangat penting kerana pencegahan jenayah memerlukan kerjasama semua pihak terutama ahli masyarakat supaya peka dengan apa yang berlaku di sekitar kawasan rumah mereka. Kanak-kanak, remaja atau mereka yang masih di bawah tanggungan keluarga harus memberitahu ibu bapa atau penjaga mengenai destinasi, anggaran masa dan paling penting, siapa yang hendak ditemui. Sekiranya dalam bahaya cari tempat ramai orang ataupun lokasi selamat seperti rumah ibadat, hospital dan balai polis.
"Maklumat ini sangat penting supaya keluarga boleh mengetahui destinasi terakhir anak mereka berada sekiranya dalam kecemasan. Tidak kira kanak-kanak mahu pun dewasa harus mengamalkan prinsip pengurusan risiko, mengelak risiko, memecahkan risiko, mengalih risiko, mengubati risiko dan menganggar risiko yang boleh diperoleh menerusi pengalaman, kempen kesedaran dan ilmu yang diperoleh menerusi pembacaan," katanya. Secara umumnya, semua kawasan adalah selamat. Perbezaannya hanyalah pada peluang untuk melakukan jenayah. Sekiranya terdapat kehadiran tiga komponen iaitu penjenayah, mangsa dan peluang bertembung dalam satu ruang waktu, jenayah boleh berlaku.
"Justeru semuanya berbalik kepada kesedaran bagaimana meningkatkan keselamatan diri. Jenayah tidak kira kecil atau besar adalah kejam. Oleh itu peningkatan kadar jenayah juga kerana kesediaan orang ramai untuk melapor kejadian," katanya.
Friday, September 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment