Friday, September 24, 2010

Fokus Jenayah

Fokus: Punca si bijak jadi pembunuh
Oleh Nor Faizah Mohamed dan Siti Zarinah Sahib

2010/09/23

JENAYAH kejam nyata tidak mengenal mangsa.

Daripada bayi yang terdampar di dalam longkang sehinggalah kepada tindakan menyembelih dan membakar mangsa.

Dalam kebanyakan kes, wanita dan kanak-kanak antara korban utama keganasan sama ada menjadi mangsa deraan atau rogol, juga pembunuhan meskipun tidak dinafikan ada pelaku jenayah terdiri daripada wanita sendiri.


Ikuti temubual wartawan Nor Faizah Mohamed (faizah@ hmetro.com.my) dan Siti Zarinah Sahib (sitizarinah@ hmetro.com.my) yang menyelami masalah keganasan dan pembunuhan yang rancak diperkatakan kini.


MASALAH kecelaruan mental dikenal pasti menjadi antara faktor penyumbang kepada gejala keganasan serta pembunuhan kejam ke atas wanita dan kanak-kanak yang banyak berlaku sejak akhir-akhir ini.


Menurut Penasihat Psikiatri Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur, Dr Daniel Zainal Abdul Rahman, wujud tiga hingga empat sub-faktor yang menyokong kepada masalah kecelaruan mental itu antaranya penyakit psikotik, berada di bawah pengaruh dadah, kecelaruan personaliti dan gagal mengawal tekanan.


“Tiga atau empat faktor psikologi ini boleh dikaitkan dengan kecenderungan kekejaman ke atas manusia lain, dalam hal ini wanita dan kanak-kanak.


“Penyakit psikotik dan berada di bawah pengaruh dadah menjadi salah satu faktor penyumbang utama kepada tindakan tidak rasional pelaku yang boleh dikesan daripada tingkah laku seharian.


“Seseorang yang mengalami kecelaruan mental dan emosi ini biasanya merasakan dirinya mengalami pengalaman luar biasa, delusi dan halusinasi.


“Delusi berlaku apabila seseorang mudah merasa syak wasangka tidak berlandaskan kebenaran hingga akhirnya mencederakan orang lain yang berada di sekelilingnya sementara halusinasi adalah apabila seseorang mengatakan dia mendengar suara ghaib yang menyuruhnya melakukan perbuatan itu,” katanya.


Tambahnya, apa yang berlaku dalam kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya oleh seorang peguam dan beberapa pekerjanya, baru-baru ini adalah contoh kecelaruan personaliti yang lebih dikenali sebagai psikopatik atau sosiopatik.


Dr Daniel menjadikan pembunuh bersiri era 70-an dari Amerika Syarikat (AS), Ted Bundy yang pernah menuntut di Universiti Puget Sound dan Universiti Washington sebagai contoh tepat kes psikopatik atau sosiopatik, selain watak Dr Hannibal Lecter dalam novel dan filem The Silence of the Lambs.


“Ada sesetengah penjenayah mengganas secara terangterangan, namun golongan psikopatik atau sosiopatik ini biasanya lebih banyak memanipulasi orang di sekelilingnya untuk melakukan jenayah itu bagi pihaknya, di samping cekap dalam penipuan.


“Wujud kes di mana golongan psikopatik atau sosiopatik ini mempunyai darjah kecerdasan (IQ) tinggi, berpenampilan menarik, berkarisma serta pandai berkata-kata bagi membolehkannya menggunakan orang lain untuk kepentingan sendiri terutama daripada segi kuasa dan kewangan.


“Dalam sesetengah kes, suspek utama sebelum ini menggambarkan dirinya seorang yang pemurah, suka membantu dan disenangi masyarakat di kawasannya serta menjalani kehidupan berprofil rendah.

“Namun, sebaliknya suspek itu yang dilaporkan mendalangi dan merancang jenayah kejam itu menerusi manipulasi ke atas orang lain lalu menggunakan mereka sebagai alat bagi membantunya melicinkan kegiatan itu.


“Golongan yang mengalami kecelaruan emosi ini tidak lagi mempunyai rasa simpati dan empati pada manusia lain malah tiada rasa kesal pada diri mereka.


“Bagi golongan ini, mereka mengambil apa yang dikatakan haknya, cuma sama ada menerusi terang-terangan atau kebanyakan secara manipulasi,” ujarnya.


Apabila diteliti semua latar belakang golongan yang mengalami kecelaruan mental dan emosi ini, rata-rata hadir daripada keluarga bermasalah namun ada juga daripada keluarga baik-baik dan ternama.


Justeru, apa punca sebenarnya yang menyebabkan penjenayah ini terdorong melakukan sesuatu yang di luar batas pemikiran manusia normal? “Dalam hal ini, wujud dua unsur utama yang mendorong mereka melakukannya iaitu faktor genetik dan alam sekeliling.


“Berdasarkan banyak kajian psikologi di AS yang masih dijalankan sehingga kini, otak mereka didapati berbeza daripada yang normal hingga menyebabkan mereka gagal menangani kawalan emosi terlampau.


“Dalam otak dan urat saraf kita terdapat bahan kimia yang mengawal mental, emosi dan riak pergerakan jadi golongan bermasalah itu didapati mengalami jumlah bahan kimia yang tidak seimbang.


“Walaupun mereka datang daripada keluarga yang baikbaik, sedikit sebanyak pasti ada kesan genetik tertentu pada golongan itu yang menjurus kepada kerosakan struktur fizikal urat saraf mereka.


“Keadaan akan tambah buruk apabila digabungkan dengan alam sekeliling, misalnya mereka terbiasa melihat keganasan di rumah yang dilakukan bapa ke atas ibu atau adik beradik perempuan, lalu kesannya membawa hingga dewasa.


“Bagi mereka, keganasan ke atas wanita itu adalah perkara biasa dan mendorong mereka turut melakukannya kerana ia sesuatu yang dialami sejak kecil,” katanya.


Jelas Dr Daniel, institusi kekeluargaan yang utuh memainkan peranan penting bagi mengelakkan lebih banyak kes seperti ini berlaku. Dengan banyaknya kes keluarga yang berpecah, ia menyumbang kepada keruntuhan masyarakat secara keseluruhan seperti fenomena yang berlaku di negara maju ketika ini.


“Apabila masyarakat mula maju, nilai diri makin kurang hingga keluarga tergadai kerana terlalu mencari kekayaan dunia. Jadi apabila sesebuah keluarga berpecah, ia menyebabkan komuniti masyarakat itu turut roboh lalu menyumbangkan kepada peningkatan pelbagai masalah sosial dan jenayah.


“Di AS, diramalkan peratusan masyarakatnya yang mengalami masalah mental dan bunuh diri akan meningkat secara mendadak untuk tempoh lima tahun lagi berdasarkan peningkatan kes keruntuhan institusi kekeluargaan di negara itu.


“Tiada penyelesaian mudah kepada masalah mental ini tapi sedikit sebanyak ia boleh dielakkan menerusi unit kecil iaitu keluarga yang utuh, harmoni dan mementingkan agama.


“Agama Islam sendiri menekankan aspek kesederhanaan dalam apa juga yang dilakukan, tidak kira kewangan, gaya hidup dan aspirasi diri.


Tawakal dan reda dengan apa yang ada juga perlu disemai dalam diri serta keluarga supaya apabila berlaku perkara yang tidak diingini, kita tidak merasa terlalu kecewa hingga mengakibatkan gejala buruk berlaku,” katanya.

No comments:

Post a Comment