Sunday, September 5, 2010

Tip Mengelak Pecah Rumah

Pecah rumah di Aidilfitri
Oleh - Nurul Riduan Nor Ashaha


Tinggal empat hari sahaja lagi untuk umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Ketika ini semua seisi rumah tidak menang tangan untuk menyediakan persiapan menyambut kemenangan setelah 30 hari berjuang berpuasa di bulan Ramadan.

Baju raya, kuih muih, perabot rumah, perhiasan diri antaranya barang kemas, dibeli untuk Aidilfitri kali ini.

Bagi yang beraya di kota, rumah perlu dikemas dan dihias agar nampak mewah tatkala jiran tetangga datang menjengah di hari raya.

Perantau pula mula sibuk dengan persiapan untuk pulang ke kampung halaman. Bukan sehari dua bercuti tetapi seminggu dan mungkin ada yang lebih dari itu.

Beg pakaian terisi baju melayu dan kebaya dibeli sempena raya sudah siap dimasukkan ke dalam bonet kereta. Enjin kereta sudah mula dihidupkan dan perjalanan bakal bermula untuk bertemu sanak saudara menyambut lebaran di kampung.

Tetapi, sebelum kita memulakan perjalanan balik kampung, adakah kita ‘siapkan’ keselamatan rumah? Jika tidak, penjenayah pasti tersenyum lebar melihat mangsa meninggalkan sarangnya.

Musim perayaanlah menjadi lubuk penjenayah jika kita abai akan aspek keselamatan sebelum kita pulang ke kampung halaman.

Berbicara bersama Penganalisis Jenayah, Kamal Afendi Hashim, laluan utama penjenayah untuk pecah masuk adalah melalui tiga cara iaitu pintu, tingkap dan siling.



Pintu

� Gril yang dipasang tidak mempunyai kualiti dan mudah dipotong

� Menggunakan mangga yang harganya murah

� Tidak menukar kunci yang rosak



Tingkap

� Penggunaan tingkap ‘sliding’ yang mudah diumpil dan seterusnya dibuka

� Tingkap berjeriji besi di potong

� Tidak menukar struktur ting kap yang telah rosak



Siling

� Penjenayah akan masuk melalui siling dari rumah yang tidak berpenghuni



Jelasnya, tiga laluan itu sering diabaikan pemilik rumah, tidak kiralah jenayah itu berlaku pada malam atau siang hari.

Tidak pernah kita dengar penjenayah korek lubang semata-mata untuk pecah masuk rumah. Oleh sebab itu, keselamatan perlu dititik beratkan.

Kadang-kala, oleh sebab struktur rumah yang lemah juga jadi punca penjenayah dapat menembus masuk. Sehinggakan penghuni mentafsirkan, barang-barang diambil toyol kerana tiada kesan pecah masuk.

Ada juga yang hanya membeli mangga rumah yang murah di pasar malam. Adakah nyawa dan barang berharga kita bernilai hanya RM15? Tidak bukan, jadi utamakan aspek keselamatan rumah kerana kitalah mencipta peluang untuk penjenayah.

Jadi, sebelum pulang berhari raya, pastikan apa yang harus dilakukan.

Perlindungan fizikal rumah

� Pasangkan ‘door viewer’ dan penyelak pada pintu utama

� Pintu utama perlu diperbuat daripada bahan yang kukuh

� Sistem kunci yang berkualiti

� Pasangkan pagar besi berkunci pada tingkap dan pintu rumah anda

� Simpan tangga dan alat-alat di tempat yang selamat supaya penjenayah tidak menggunakan alatan itu untuk memasuki rumah anda

� Potong ranting-ranting pokok dan semak-samun sepanjang pagar rumah yang membolehkan penceroboh menyembunyikan diri di halaman rumah

� Pasang lampu yang mempunyai alat pengesan untuk mengawal halaman dan boleh mengesan penceroboh

� Jika berkemampuan, pasang kamera litar tertutup (CCTV) di hadapan dan belakang rumah



Semua itu bukan hanya dilakukan untuk musim perayaan semata-mata kerana jenayah pecah rumah boleh berlaku bukan hanya pada waktu kita tiada di rumah, bahkan ketika sedang tidur pada waktu malam sekalipun.

Bukan tujuan untuk menakut-nakutkan semua, tetapi itu lah hakikat yang terjadi kini. Penjenayah tidak kenal erti takut malah pisau di dapur rumah boleh menjadi senjata penjenayah ketika menyamun. Mereka sebelum itu, boleh berlegar-legar di kawasan perumahan tanpa sebarang syak wasangka kerana mereka tidak membawa sebarang senjata. Tetapi bila masuk ke rumah, barang di dalam rumah itu sendiri menjadi senjata penjenayah.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedaya upaya menyedarkan kita semua untuk sentiasa pentingkan aspek keselamatan rumah. Menjelang perayaan ini, banyak aktiviti kesedaran balik kampung perlu dititik beratkan.

Semua itu merupakan langkah berjaga-jaga kita untuk membantu polis menjalankan tugas yang dipertanggungja�wabkan.

Itu yang harus dilakukan bagi memastikan aspek keselamatan diutamakan. Bagi menambahkan lagi aspek itu PDRM perlu dibabitkan kerana mereka ini lebih arif dalam menjaga keselamatan semua.

Maklumkan kepada balai polis berdekatan dengan meninggalkan nombor telefon, alamat rumah dan tempoh waktu ketiadaan.

Semua itu akan memudahkan polis untuk mengatur masa melakukan rondaan di kawasan rumah anda.

Jika semua itu telah dilakukan, percutian kita di hari raya ini akan lebih terjamin. Bukan sahaja keselamatan diri terjaga, malah rumah yang kita diami akan terbela.

Salam lebaran dari Sinar Harian untuk semua.

Sumber:

Laman web rasmi PDRM, www.rmp.gov.my

No comments:

Post a Comment