Kegiatan penipuan SMS masih aktif
SEREMBAN 12 Sept. - Licik dan masih aktif kegiatannya.
Itu yang dapat disimpulkan mengenai kegiatan sindiket penipuan menerusi peraduan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang masih bergerak aktif memburu orang ramai.
Hadiahnya cukup lumayan sehinggakan pengguna mampu 'gelap mata' apatah lagi pada musim perayaan ini kerana jumlah yang ditawarkan berupa wang tunai mencecah hampir RM20,000.
Lebih menarik, modus operandi sindiket itu tetap sama dengan cuba memperdaya mangsa dengan menggunakan nama pelbagai syarikat ternama.
Sindiket berkenaan yang dipercayai didalangi oleh warga asing akan menghantar SMS kepada orang ramai dengan memaklumkan sim kad mereka memenangi hadiah wang tunai dari syarikat berkenaan
Seorang pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Hisham, 30, memberitahu, dia hampir terpedaya selepas menerima satu SMS yang mendakwa sim kad miliknya memenangi wang tunai berjumlah RM17,000 daripada sebuah syarikat minuman antarabangsa.
Katanya, SMS tersebut turut memintanya menghubungi pejabat syarikat itu tetapi nombor telefon yang diberi adalah nombor telefon bimbit.
''Rasa terkejut juga pada awalnya apabila saya ditawarkan hadiah wang tunai sebanyak itu. Namun setelah menelitinya beberapa kali saya tahu ini satu penipuan.
''Saya juga menghubungi nombor telefon yang diberikan dan ia dijawab oleh seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Mohd. Ismail Ali," katanya baru-baru ini.
Jelas Hisham, lelaki berkenaan kemudiannya berpura-pura menyemak nombor telefon bimbitnya di komputer sebelum mengucapkan tahniah kerana memenangi hadiah wang tunai berkenaan.
''Lelaki yang bercakap dalam loghat Indonesia itu kemudiannya memberitahu bahawa wang tunai tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun bank saya.
''Bagaimanapun, lelaki berkenaan kemudiannya mengarahkan saya memasukkan wang berjumlah RM500 ke dalam satu akaun sebagai yuran untuk proses hadiah kemenangan.
''Namun saya terus mematikan talian telefon kerana tahu lelaki berkenaan cuba memperdaya saya," ujarnya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, kegiatan berkenaan dipercayai masih berlaku dengan menggunakan pelbagai taktik yang mengelirukan.
Justeru katanya, orang ramai seharusnya lebih bijak dalam menghidu apa juga perkara yang mampu menyebabkan mereka menjadi mangsa penipuan.
''Mereka perlu tahu, sekarang ini pelbagai taktik digunakan bagi memanipulasi orang ramai dengan tujuan meraih keuntungan lebih-lebih lagi di musim perayaan.
''Oleh demikian kita mahu supaya orang ramai tidak terus tertipu akan tetapi terus berwaspada dengan kegiatan ini,'' kata beliau.
Monday, September 13, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment