Difahamkan, dalam kejadian jam 11.30 pagi Selasa lalu, mangsa yang juga ibu tunggal berusia 79 tahun berada di rumahnya seorang diri.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin berkata, wanita itu didatangi dua lelaki menaiki Perodua Myvi berwarna putih dengan mendakwa dari TNB Alor Gajah dan memberitahu mahu melakukan pemeriksaan elektrik di setiap rumah. “Mangsa yang tidak mengetahui niat sebenar suspek membenarkan lelaki itu masuk ke dalam rumah untuk melakukan pemeriksaan pada peralatan elektrik.
“Seorang suspek berpura-pura melakukan pemeriksaan peralatan elektrik di dalam rumah, manakala rakannya mengambil gambar dalam dan luar rumah,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, seorang suspek kemudian menyuruh wanita itu mengambil kad pengenalan untuk direkodkan ke dalam buku catatan sebelum pemeriksaan selanjutnya dilakukan.
Katanya, tanpa berfikir panjang, mangsa masuk ke dalam bilik dan mengambil kad pengenalan dalam beg sebelum meletakkan semula beg itu di atas katil.
“Beberapa minit selepas suspek beredar, mangsa masuk ke dalam biliknya dan mendapati wang dalam sampul surat berjumlah RM750 hilang,” katanya.
Umar berkata, wanita itu mengalami kerugian dianggarkan RM10,000 selepas wang tunai dan barang kemasnya dilarikan dua lelaki terbabit.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berkulit cerah, seorang daripadanya memiliki susuk tubuh kurus dan tinggi, manakala rakannya berbadan rendah.
“Polis menasihatkan orang ramai berhati-hati sekiranya didatangi individu berkenaan dan segera menghubungi balai polis berhampiran atau talian 06-5562222 untuk tindakan lanjut,” katanya.
No comments:
Post a Comment