Thursday, September 6, 2012

hasil jualan kena kebas

'Pelanggan' kebas hasil jualan
Wartawan Sinar Harian
5 September 2012
'Pelanggan' kebas hasil jualan
Keadaan dalam kedai mangsa yang terbuka memudahkan pasangan terbabit melakukan perbuatan jenayah mereka tanpa disedari.
BANDAR TUN RAZAK - Sebuah kedai menjual produk kesihatan, di sini, kerugian RM6,000 setelah pekerja kedai terbabit terpedaya dengan taktik licik seorang lelaki dan wanita yang kononnya datang membeli barang di premis itu, 28 Ogos lalu.

Pemilik kedai berkenaan, Burhan Mahmud, 41,  berkata, semasa kejadian, hanya seorang pekerja berada di kedainya yang terletak di Bangunan Pusat Komersial, Bandar Tun Razak.

Menurutnya, pasangan terbabit datang ke kedainya sekitar jam 2.30 petang, menaiki sebuah kereta Proton Saga berwarna keemasan.

“Secara kebetulan seorang sahaja yang bekerja ketika itu, manakala dua lagi tiada di kedai.

“Wanita berkenaan memakai tudung, berkulit gelap dan berusia lingkungan 30-an. Dia menarik pekerja saya ke bahagian hadapan kedai dan bertanyakan pelbagai soalan berkaitan produk yang dijual,” katanya kepada Sinar Harian.

Burhan berkata, ketika pekerjanya sibuk melayan wanita terbabit, pasangannya mengambil kesempatan menuju ke bahagian yang menempatkan wang hasil jualan kedai.

“Kebetulan pekerja saya mengira wang hasil perniagaan pada hari tersebut.

“Lelaki berkulit cerah, juga berusia lingkungan 30-an itu mengambil yang sudah siap dikira dan diasingkan berjumlah RM6,000,” katanya.

Menurutnya, pasangan terbabit bagaimanapun tidak mengambil barangan lain di dalam kedainya.

“Mereka tidak membeli apa-apa barang, sebaliknya keluar secara tergesa-gesa.

"Namun wanita itu sempat menyampaikan pesanan kepada pekerja saya mengatakan seseorang mahu berjumpa saya,” katanya.

Burhan berkata, dia sudah melaporkan kejadian itu di Balai Polis Jengka dan turut menasihatkan peniaga lain supaya berhati-hati dengan taktik licik pasangan tersebut.

"Saya rasa tidak mustahil mereka akan lakukan perkara sama lagi, mungkin bukan sahaja di Jengka, malah daerah-daerah lain.

"Saya merancang untuk pasang kamera litar tertutup di kedai ini sebagai langkah berjaga-jaga supaya kejadian sama tidak berulang," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Asisten Superintendan Sulaiman A Hamid mengesahkan menerima laporan.

No comments:

Post a Comment