Bagaimanapun, tabiat mencuri kenderaan pasangan adik-beradik itu terbantut kelmarin selepas mereka dicekup di Medan Aneka, Jalan Genting Klang bersama sebuah motosikal yang baru dicuri pada 29 Ogos lalu di Wangsa Maju.
Sumber polis berkata, anggota Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K) mengesan motosikal Yamaha Lagenda berwarna hitam yang digunakan dua beradik itu di Jalan Genting Klang namun mereka melarikan diri ketika itu.
Bagaimanapun, katanya, intipan berterusan ke atas kedua-dua suspek itu berjaya menemui mereka semula jam 8.35 malam dan ketika hendak menahan mereka, adik-beradik itu menyedari kehadiran polis sebelum menaiki motosikal untuk beredar.
“Anggota U3K bersama dua anggota tentera dari Cawangan Siasatan Jenayah yang cuba menahan mereka dirempuh sebelum seorang daripada mereka diheret lebih 500 meter.
“Namun hasil kekuatan pihak berkuasa, kedua-dua suspek itu ditahan selepas bergelut dan soal siasat mendapati pasangan terbabit mengaku mencuri motosikal berkenaan di Jalan AU 1A/1B, Wangsa Maju milik seorang pelajar pada 29 Ogos lalu,” katanya semalam.
“Mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan sebelum diserahkan ke Balai Polis Setapak untuk tindakan lanjut,” katanya.
No comments:
Post a Comment