Hidup mewah hasil jual kereta curi
HULU LANGAT 13 Okt. - Dua sahabat baik yang menjadikan kegiatan menjual kereta curi untuk hidup senang-lenang, akhirnya ditangkap hasil kecekapan polis menjejaki merekaKetua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, mereka dicekup baru-baru ini bersama sebuah kereta Proton Perdana dan Proton Wira yang dilaporkan hilang di Serdang dan Subang Jaya.
Menurutnya, polis berjaya menjejaki suspek yang merupakan penagih dadah selepas seorang mangsa melaporkan kehilangan kereta Proton Perdana miliknya di sebuah pasar raya di Balakong di sini pada 29 September lalu.
"Bertindak atas maklumat itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya mengesan seorang daripada suspek di sebuah rumah di Taman Majlis Jaya, Kajang keesokan harinya.
"Bagaimanapun, lelaki terbabit cuba melarikan diri dengan memandu kereta Proton Perdana yang dicurinya sehingga terlibat dalam kemalangan dengan dua kereta sebelum dapat diberkas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.
Ab. Rashid berkata, pemeriksaan polis menemui satu beg hitam mengandungi empat ragum yang telah diruncing hujungnya, empat pemutar skru, lima kikir besi dan serangkai kunci kereta yang belum digunakan dipercayai peralatan untuk mencuri kenderaan.
Hasil siasatan lanjut, beliau berkata, polis berjaya menangkap rakan suspek di sebuah rumah di Sungai Chua, Kajang dan merampas sebuah kereta Proton Wira.
"Modus operandi kumpulan penjenayah itu adalah dengan mencungkil tempat kunci pada but belakang kereta dan kemudian membuat kunci pendua kenderaan itu.
"Perbuatan mencuri kenderaan itu bagaimanapun hanya dilakukan jika suspek menerima tempahan dan kereta yang dicuri akan ditutup dengan kain semasa disimpan bagi mengelak ia dikesan sebelum diserahkan kepada pembeli," katanya.
Ab. Rashid berkata, kedua-dua suspek berusia 20-an itu apabila disiasat mengaku terlibat dalam 18 kes curi kenderaan pelbagai jenama di sekitar Lembah Klang sejak tahun lalu.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment