Friday, October 28, 2011

curi bagasi

Polis tahan suspek curi bagasi


Imran Abdul Rahman (kiri) dan timbalannya, Deputi Supritendan Zaldino Zaludin menunjukkan bagasi mangsa kecurian di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, semalam.


SEPANG 27 Okt. - Polis berjaya membongkar kes kecurian bagasi yang berlaku sejak awal tahun ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah menahan tiga lelaki warga asing berusia lingkungan 50-an di Ampang, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Supritendan Imran Abdul Rahman berkata, tangkapan itu hasil siasatan polis terhadap aduan seorang penumpang di KLIA apabila sebuah beg yang dibawa bersamanya hilang disyaki dicuri.
Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Polis Daerah Sepang menyerbu sebuah kondominium di Ampang dan berjaya merampas 16 unit beg pelbagai jenis, sebuah komputer riba, lima utas jam tangan dan tiga cermin mata.
"Polis mendapat laporan pada Sabtu lepas seorang penumpang yang akan ke Kota Kinabalu kehilangan beg yang mengandungi sebuah Ipad, satu cermin mata, sebatang pen dan dokumen ketika diletakkan di atas troli semasa hendak mendaftar masuk.
"Kemudian pada Selasa lalu sekitar pukul 6 petang polis menyerbu kondominium yang dijadikan tempat penginapan mereka dan menahan dua lelaki warga Peru dan seorang warga Sepanyol.
"Melalui siasatan yang kita jalankan, suspek turut mencuri di beberapa kawasan tumpuan orang ramai seperti KLCC, hotel dan restoran dengan seorang suspek berlagak bertanyakan sesuatu manakala yang lain bertindak menarik perhatian orang ramai," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini hari ini.
Imran memberitahu, ketiga-tiga lelaki yang ditangkap kini ditahan reman hingga 7 November ini untuk siasatan lanjut.
"Polis percaya dengan tertangkapnya suspek-suspek ini kita berjaya membendung dan menyelesaikan 12 kes kecurian barang yang dilaporkan menggunakan modus operandi yang sama di KLIA.
"Justeru, kepada mangsa-mangsa yang kehilangan beg di KLIA dan pernah bersemuka dengan suspek diminta datang ke balai polis untuk pengecaman," katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Imran memberitahu, sepanjang tahun ini polis berjaya membuat tangkapan tujuh kes terhadap pemilikan senjata tiruan merupai senjata api di KLIA.
Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak membeli senjata tiruan tersebut kerana ia menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang dan boleh didakwa di bawah peruntukan 36 akta senjata 1960.
"Hasil siasatan mendapati terdapat tiga modus operandi yang diguna pakai untuk menyeludup senjata ini iaitu dengan membeli di luar negara dan membawa masuk sebagai barang permainan, beli di luar negara dan kemudian pos dalam bentuk bungkusan serta pos senjata tersebut dalam bentuk bungkusan ke pelbagai destinasi dalam Malaysia.
"Kepada sesiapa yang memiliki senjata tiruan walaupun untuk tujuan perhiasan boleh dihukum penjara tidak melebihi satu tahun dan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

No comments:

Post a Comment