Wednesday, December 8, 2010

Pencuri Putus Kena Tetak


Penjenayah putus tangan ditetak pemilik rumah


Kamarudin Mohd. Zakaria (kanan) bersama pegawainya melihat kawasan kejadian cubaan pecah rumah yang menyebabkan pencuri tersebut putus pergelangan tangan di Kampung Pengkalan Gaduh Limbongan, Besut semalam. Gambar kecil pergelangan tangan penjenayah yang terputus ditemui di kawasan rumah terbabit.

BESUT 7 Dis. - Seorang penjenayah bukan sahaja berputih mata apabila gagal melarikan barang berharga ketika cuba memecah masuk sebuah rumah, malah menerima padah apabila putus pergelangan tangan kirinya akibat ditetak pemilik rumah.

Kejadian berlaku pukul 3.30 pagi ketika suspek yang berusia 28 tahun cuba menceroboh rumah seorang penternak ikan kolam di Kampung Pengkalan Gaduh, Limbongan dekat sini.

Insiden itu bagaimanapun disedari pemilik rumah dan ketika suspek cuba menyerangnya dengan batang besi, lelaki berusia 49 tahun tersebut melibas pemuda terbabit dengan parang.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria memberitahu, sebelum itu, pemilik rumah terjaga apabila ternampak kelibat seseorang yang cuba memasuki rumahnya melalui tingkap.

Katanya, lelaki itu kemudian keluar rumah melalui pintu depan tanpa disedari oleh suspek yang leka menggunakan sebatang besi untuk mengumpil tingkap.

"Dalam keadaan terkejut, suspek cuba berhadapan dengan tuan rumah tetapi dia dilibas dengan parang oleh pemilik rumah yang terkena tangan kirinya.

"Suspek berasal dari Setiu itu terus melarikan diri dan meninggalkan pergelangan tangannya yang terputus," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Kamarudin, pemilik rumah berkenaan kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Katanya, suspek yang tercedera melarikan diri ke calet disewanya bersama seorang wanita berusia 15 tahun, kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.

"Wanita itu didakwa sebagai isterinya dan dibawa bersama menginap di calet terbabit pukul 12.30 tengah malam tadi," katanya.

Beliau berkata, polis yang tiba di tempat kejadian menemui pergelangan tangan suspek tidak jauh dari tempat suspek ditetak.

Katanya, hasil siasatan dan bantuan orang ramai, suspek akhirnya berjaya dikesan berada di calet tersebut dalam keadaan berlumuran darah dan kesakitan.

"Kita menghubungi pihak Hospital Besut dan membawa suspek bersama pergelangan tangannya yang terputus untuk rawatan sebelum dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, bagi rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal suspek didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun carian lanjut masih diteruskan.

No comments:

Post a Comment