Kereta lelong harga istimewa
Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
utusanpahang@utusan.com.my
Mohamed Khalid Yusof (dua dari kanan) menyampaikan sijil anugerah cemerlang kepada Pengarah Kastam Pahang, Datuk Ahmad Samawe Hassan di Kuantan, semalam. – BERNAMA
KUANTAN 23 Dis. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) meminta orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran palsu pembelian kereta lelong kononnya yang dirampas jabatan itu oleh mana- mana individu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf berkata, pihaknya menerima aduan orang ramai mengenai ada pihak yang menawarkan tawaran tersebut sedangkan jabatan itu melakukannya secara tender terbuka.
“Ada sesetengah pihak mendakwa mereka boleh mendapatkan kereta yang dirampas pihak kastam untuk dibeli oleh orang ramai pada harga yang istimewa.
“Kononnya dengan memberi sejumlah wang kepada pihak terlibat, mereka boleh mendapatkan kereta itu dengan mengenali orang dalam,” katanya di sini hari ini.
Mohamed Khalid menegaskan, jabatan itu tidak pernah melantik sesiapa sebagai ejen untuk menjual kenderaan berkenaan.
“Kita tidak pernah berurusan dengan pihak ketiga dan jika ada pihak yang mengaku begitu ia merupakan satu penipuan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta tidak terpedaya dan melaporkan kejadian ini kepada jabatan itu bagi membanteras penipuan seperti ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak tertipu dengan sindiket meminta sejumlah wang kononnya untuk digunakan bagi membebaskan wang seludup yang dirampas oleh kastam.
Beliau berkata, setakat ini JKDM tidak mempunyai rekod berapa ramaikah yang sudah ditipu oleh sindiket terbabit tetapi pihaknya percaya ia berterusan sehingga kini.
Menurutnya, pihaknya juga percaya penipuan itu dipercayai bermula daripada laman sembang dan sosial di Internet seperti Facebook dan Friendster.
Jelasnya, mangsa berkenalan dengan pihak tidak dikenali yang mendakwa mereka memiliki wang seludup, tetapi tidak dapat mengambilnya kerana telah dirampas oleh jabatan itu.
Sindiket itu kemudian akan meminta kenalan mereka memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun tertentu bagi memudahkan urusan pelepasan wang seludup tersebut sebelum ia dapat dibahagikan bersama.
Namun, katanya, sebaik sahaja wang mangsa sudah dimasukkan ke dalam akaun sindiket terbabit, mereka akan menghilangkan diri.
“Sebenarnya duit itu tidak wujud tetapi masih ramai yang percaya menyebabkan mereka tertipu,” jelasnya.
Friday, December 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment