Saturday, December 25, 2010
Diburu Along
Isteri bimbang suami hilang diburu ah long
Misliana Buyak bersama tiga anaknya dan Dr. Ching Eu Boon pada sidang akhbar di pejabat Penyelaras Barisan Nasional Pandamaran, Klang, semalam.
KLANG 24 Dis. – Seorang wanita bimbang dengan kehilangan suaminya, Mohd. Shukri Chandraneru, 34, sejak lima hari lalu, selepas dia dikatakan diburu ah long bagi menjelaskan hutangnya.
Misliana Buyak, 40, berkata, suaminya yang berniaga ikan itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Pangsapuri Bukit Tinggi 2 di sini kira-kira pukul 5 petang.
‘‘Sebelum ini dia pernah diugut oleh dua lelaki semasa berniaga ikan di pasar Pandamaran.
‘‘Kedua lelaki itu mengugut jika suami saya tidak membayar hutang, mereka akan menghantar orang untuk mencari dia,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Penyelaras Barisan Nasional (BN) Pandamaran bersama Ketua Pemuda MCA Klang, Datuk Dr. Ching Eu Boon.
Katanya, dia bimbang kemungkinan suaminya diculik dan disembunyikan oleh pihak tertentu yang mahu menuntut hutang mereka.
‘‘Setahu saya, dia tidak mempunyai musuh dan merupakan seorang suami dan bapa yang penyayang.
‘‘Ekoran kejadian itu, tiga anak saya sering bertanya ke mana bapa mereka pergi dan amat merinduinya,” ujarnya.
Sementara itu, Eu Boon meminta Mohd. Shukri berjumpa dengan pihaknya sekiranya dia melarikan diri kerana mahu bersembunyi agar mereka dapat berunding dengan pihak ah long yang mungkin sedang mencarinya.
Beliau memberi jaminan untuk berunding dengan ah long untuk mencari jalan penyelesaian supaya masing-masing tidak mengalami kerugian dan kesusahan.
‘‘Sekiranya dia lari kerana kes ah long kita akan cuba menolong tetapi jika dia lari kerana sebab lain kita minta pihak polis menyiasat perkara tersebut,” katanya.
Eu Boon berharap mereka yang mempunyai maklumat mengenai Mohd. Shukri agar menghubunginya di nombor 017-3659897.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment