• Shamsuri Shamsuri
1 / 1
SHAH ALAM – [Dikemaskini] Demi pengaruh dan kuasa, ada segelintir ahli kongsi gelap yang sanggup menuntut ilmu kebal di negara jiran, Indonesia dan Thailand.

Mendedahkan perkara itu, pendakwah bebas, Datuk Shamsuri Shafie berkata, ia diakui sendiri oleh bekas ahli kongsi gelap yang sudah kembali ke pangkal jalan.

“Menjadi ahli kongsi gelap ini memerlukan keberanian kerana mereka akan terlibat dalam aktiviti jenayah. Sebab itu, ada yang sanggup menuntut ilmu kebal yang dilarang dalam agama.

“Dengan memiliki ilmu ini, mereka jadi lebih berani dan tidak takut untuk bertindak di luar batasan. Semua ini disebabkan mereka terlalu taksub untuk berkuasa di dalam kawasan masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas lanjut mengenai ilmu kebal yang diamalkan, Shamsuri yang juga pengasas Pusat Rawatan Islam At-Tobibi berkata, terdapat pelbagai jenis seperti susuk, mantera dan cincin permata khas dipakai oleh pengamal ilmu hitam berkenaan.

"Ada seorang bekas ahli kongsi gelap ini memakai susuk kebal di segenap sendinya. Dengan susuk ini, tiada senjata yang lut dan boleh menembusinya.

"Namun, ada pantang larang yang perlu dipatuhi bagi memastikan ilmu terus kekal seperti tidak boleh memakan pisang emas dan lalu di bawah ampaian. Bekas ahli kongsi gelap itu akhirnya insaf dan meminta bantuan saya untuk membuang 10 susuk yang dipakainya," katanya.

Beliau berkata, setakat ini terdapat enam orang ahli kongsi gelap yang telah insaf mendapatkan rawatan dengannya.

"Ada yang sudah berkecimpung sejak remaja tetapi akhirnya mendapat hidayah untuk berubah di usia 60 tahun. Mereka melarikan diri dari kumpulan lama dan mahu membersihkan diri," katanya.

Katanya, orang Islam yang terjebak dengan kongsi gelap ini perlu segera kembali ke pangkal jalan.

“Antara faktor mereka mudah terpengaruh dengan kongsi gelap ialah tiada pegangan agama. Dari awal lagi, niat itu sudah tidak betul apabila sanggup melakukan apa saja untuk mendapat pekerjaan termasuk menyertai kongsi gelap.

“Sekali sudah terjebak, mungkin hati mereka sudah mati yang menjadikan mereka tidak takut untuk melawan undang-undang. Namun, mereka perlu ingat kuasa dan kedudukan yang dimiliki tidak akan berkekalan,” katanya.