Pekebun rugi RM60,000
Kok Kheong (kiri) menunjukkan bukti slip pembayaran wang yang diberikan kepada ‘rakan kongsinya’ pada sidang media, semalam sambil diperhatikan Mohd Rawi.
IPOH – Kerana terlalu mempercayai kata-kata rakan, seorang pekebun mengalami kerugian lebih RM60,000 apabila projek tanaman kelapa sawit dan getah yang ditawarkan kepadanya sebenarnya palsu.

Mangsa, Chiew Kok Kheong, 44, berkata, perkara itu hanya disedari setelah ‘rakan kongsinya’ itu memberi pelbagai alasan ketika diminta menunjukkan lokasi sebenar projek yang bakal diusahakan mereka.

Menurutnya, pada awal persetujuan, dia dibenarkan untuk menoreh getah di sebuah ladang berkeluasan 240 hektar di Gerik dan menuai hasil kelapa sawit di Sungai Siput (120 hektar).

“Dengan perjanjian itu, saya mula setuju, namun semasa dalam proses untuk pelaksanaan. Dia minta saya bantu pinjamkan wang, jadi saya bantu. Ada yang dimasukkan ke dalam akaun dan ada saya beri secara tunai.

“Tapi lama-lama saya jadi tak sedap hati. Bila saya suruh tunjukkan mana tempat projek, dia kata nanti..nanti dan sampai sekarang sudah lebih satu tahun belum ada sebarang petunjuk lagi. Bila saya kerap bertanya, dia marah,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, semalam.

Kok Kheong berkata, dia mengenali lelaki berusia 40-an itu melalui seorang rakan baik, kononnya untuk menambah pendapatan sedia ada.

Bagaimanapun katanya, dia sama sekali tidak menyangka akan diperdaya sehingga mengakibatkan kerugian puluhan ribu ringgit yang disimpan selama bekerja sebagai pekebun sayur.

Akibat insiden itu juga, Kok Kheong terpaksa menjual kereta dan rumahnya di Kuala Kuang, Chemor untuk dijadikan modal semula tanaman sayurnya.

“Saya kini terpaksa duduk dengan keluarga kerana semua wang simpanan telah habis saya laburkan. Konon untuk projek itu, tetapi apa pun tak dapat,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu lelaki berkenaan adalah pada sekitar bulan lalu, namun sebaik ditanya mengenai wang yang dipinjam dia menerima herdikan serta kata-kata kesat.

Katanya, dia telah cuba menjejaki rakan baik yang memperkenalkan lelaki berkenaan kepadanya namun dimaklumkan rakannya sudah menghilangkan diri.

“Sekarang saya benar-benar tersepit. Bukan sedikit yang saya beri, sudah hampir RM60,000 dengan RM50,000 saya berikan secara tunai. Bakinya saya masukkan ke dalam akaun secara berperingkat sejak Januari tahun lalu” katanya.

Ketua Urus setia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, insiden seumpama ini kerap berlaku, namun jarang dilaporkan dan orang ramai harus lebih waspada.