Wednesday, August 18, 2010

Tipu Culik Rugi RM15 Ribu

KUALA LUMPUR: Seorang ibu kerugian RM15,000 selepas diperdayakan seorang lelaki yang mendakwa menculik anak gadisnya dalam perbualan menerusi telefon pagi semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata wanita berusia 40 tahun itu menerima panggilan telefon di rumahnya di Brickfields kira-kira jam 10 pagi daripada lelaki yang tidak dikenali dan mendengar suara gadis seolah-olah seperti suara anaknya meminta pertolongan. “Suspek mengugut mangsa memberikan wang RM50,000 bagi mendapatkan semula anaknya. Mangsa bagaimanapun hanya memasukkan RM15,000 ke dalam akaun bank suspek,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Khairi berkata, selepas sejam memasukkan duit ke dalam akaun suspek, baru mangsa menghubungi anaknya yang berusia 20-an melalui telefon bimbit dan mendapati anaknya selamat dan berada di pejabatnya.


“Anak mangsa tidak diculik...mangsa hanya diperdaya individu yang tidak dikenali untuk mendapatkan wang dengan cara mudah,” katanya.


Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields sebaik menyedari ditipu.


“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya apabila menerima panggilan individu yang tidak dikenali yang mendakwa kononnya ahli keluarga mereka diculik. Kenal pasti kedudukan ahli keluarga mereka sebelum mengambil tindakan terburu-buru,” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment