Sunday, August 15, 2010
Tiada Perikemanusiaan
SIBU 14 Ogos – Polis berjaya menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai didera dengan kejam oleh majikannya sejak tiga bulan lalu selepas menyerbu sebuah rumah kedai di sini petang semalam.
Dalam serbuan pukul 1 petang di Jalan Kapua di sini, mangsa yang dikenali sebagai Sulasti dari Jakarta ditemui dalam tandas, dipercayai cuba disembunyikan majikannya yang ketakutan berikutan kehadiran polis.
Agak menyedihkan, ketika ditemui, wanita itu dalam keadaan lemah dan tidak mampu berjalan akibat kecederaan yang dialaminya.
Terdapat kesan kecederaan di kepala dan mukanya, dipercayai akibat ditampar manakala di badan wanita itu terdapat kesan luka dan melecur.
Polis kemudian menahan seorang suri rumah berusia 35 tahun yang dipercayai majikan pembantu rumah berkenaan kerana disyaki terlibat mencederakan mangsa.
Timbalan Ketua Polis daerah, Supritendan Zamani Hamdan berkata, bertindak atas maklumat Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching, pihaknya menyerbu rumah kedai itu.
Beliau berkata, polis pada mulanya sukar untuk memasuki rumah itu berikutan keengganan pemilik rumah bekerjasama dengan polis.
Katanya, berikutan itu, polis terpaksa memotong pintu jeriji rumah kedai berkenaan untuk masuk sebelum menemui pembantu rumah berusia 21 tahun dalam tandas.
“Ketika ditemui, keadaannya tidak terurus. Dia kelihatan kurus dan tidak mampu berjalan berikutan kecederaan yang dialami malah kita mengesyaki dia tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Zamani, ketika ditemui, mulut pembantu rumah itu berdarah dan tidak diberi makan dan minum. Pihaknya percaya mangsa telah didera sejak tiga bulan berkhidmat bersama majikan.
Beliau memberitahu, susulan penahanan suri rumah itu, polis bertindak menahan suaminya, seorang mekanik berusia 47 tahun kira-kira pukul 10 pagi ini.
Katanya, wanita itu dan suaminya kini ditahan reman selama enam hari mengikut Seksyen 326 Kanan Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.
“Kita juga sedang menimbang untuk mendakwa pasangan itu mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing tanpa permit yang sah,” jelas beliau.
Sementara itu, Sulasti mendakwa majikannya pernah memukulnya dengan menggunakan tangan, kaki, kayu, rotan dan besi sepanjang tiga bulan dia bekerja dengan mereka.
Wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Sibu pada pukul 1.30 petang semalam untuk menerima rawatan lanjut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment