Pemilik homestay kena tipu
29 November 2012
Pendidik berusia 30-an yang hanya mahu dikenali sebagai Amin mendakwa, lelaki berkenaan menggunakan modus operandi menyatakan yang dia telah membuat terlebih bayaran untuk harga sewa homestay tersebut dan meminta mangsa memulangkan lebihan wang itu melalui nombor akaun yang diberikan.
Amin turut mendakwa, lelaki terbabit menyasarkan pemilik homestay yang menawarkan perkhidmatan mereka melalui laman sosial.
“Saya kemudiannya bertindak menyiasat sendiri melalui internet dan menemui beberapa mangsa lain yang juga pemilik homestay mendakwa ditipu dengan nama individu yang sama,” katanya.
Antara lain, katanya, dia turut menemui akaun laman sosial Facebook Johor Bahru Homestay pada 26 Oktober lalu yang memaparkan status peringatan kepada semua individu supaya berhati-hati dengan lelaki bernama Norshahir Yusof selain
memaparkan nombor akaun bank serta nombor telefon individu terbabit.
“Pemilik Johor Bahru Homestay mendakwa tertipu sebanyak RM400.
“Manakala saya pula tertipu sebanyak RM250 apabila individu ini menyatakan dia terlebih memasukkan jumlah bayaran sewa homestay sebanyak RM250 melalui satu sistem yang hanya boleh disemak setelah dua hari transaksi dibuat.
“Pada hari yang sama lelaki terbabit mendakwa memasukkan duit sebanyak RM1,250 ke dalam akaun CIMB saya, sedangkan bayaran sebenar bagi sewa lima hari, empat malam ialah RM1,000,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Taman Sentosa, semalam.
Amin berkata, lelaki berkenaan kemudiannya memohon dia memulangkan lebihan wang pada hari sama ke dalam akaun Maybank atas nama seorang individu lain.
Bagaimanapun menurutnya, selepas dua hari transaksi berkenaan dibuat, dia terperanjat apabila mendapati tiada transaksi wang masuk dan segera membuat laporan di Balai Polis Gemas.
“Oleh itu, saya berharap pemilik homestay berhati-hati dengan individu ini. Malah, saya berdoa pihak polis dapat mengesannya yang menipu ramai pemilik homestay bukan hanya di Negeri Sembilan, malah di Johor Bahru,” katanya.
Dalam pada itu, Sinar Harian turut mendapatkan pengurus Johor Bahru Homestay yang hanya mahu dikenali sebagai Azlen, berusia dalam lingkungan 40-an.
Menurut Azlen, lelaki menggunakan nama samaran Norshahir Yusof itu menghubunginya, kononnya mahu menyewa dalam tempoh sebulan kerana menyertai pameran pengantin di Plaza Angsana.
“Beberapa jam setelah dia membuat transaksi dalam jumlah yang dipersetujui, dia menghubungi pihak kami dan menyatakan terlebih bayar sebanyak RM400. Dia menggesa kami memulangkan duit lebih berkenaan kerana ingin menggunakannya bagi membuat tempahan untuk pameran tersebut.
“Atas dasar percaya, duit yang diminta kami pulangkan. Hari yang dijanjikan untuk menyewa dia tidak muncul dan apabila diperiksa, transaksi yang dikatakan telah dibuat juga tidak berlaku,” katanya.
Azlen berkata, pada mulanya dia enggan membuat laporan polis, namun setelah meletakkan status peringatan di laman Facebook homestay miliknya, ramai menghubunginya dan menyatakan turut menjadi mangsa.
“Sebab itu saya buat laporan di Balai Polis Johor Bahru,” katanya.
Azmen turut mengingatkan pengusaha homestay lain agar berwaspada dengan individu ini.
“Selagi dia tidak ditangkap polis, ramai lagi pengusaha homestay yang akan tertipu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes berkenaan.
Menurutnya, kes penipuan ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment