Wednesday, October 17, 2012

contohi wanita ini lawan peragut

'Kau silap orang kalau nak ragut'
SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
17 Oktober 2012
'Kau silap orang kalau nak ragut'
Mangsa nekad mengejar peragut walaupun beg yang dilarikan hanya berisi RM2.
MELAKA - “Kau silap orang lah kalau nak ragut,” kata seorang remaja perempuan yang berang selepas  berjaya menangkap seorang lelaki yang meragut begnya di Telok Emas, di sini, malam kelmarin.
Peragut yang salah sasaran bukan sahaja tidak dapat menikmati RM2 hasil aktiviti jenayahnya, malah lebih malang dia turut ‘diganyang’ mangsa berusia 19 tahun.

Mangsa nekad mengejar lelaki terbabit selepas mengejarnya sejauh kira-kira dua kilometer dengan menunggang motosikalnya.

Sinar Harian difahamkan, penduduk kampung berhampiran turut membantu mangsa menghalang suspek berumur 21 tahun itu melarikan diri sebelum menghubungi pihak polis.
Sementara itu, mangsa ketika ditemui berkata, dia yang mengesyaki sesuatu terus menghafal nombor pendaftaran motosikal  suspek sebaik sahaja suspek menutup lampu hadapan motosikalnya ketika di persimpangan lampu isyarat Kandang/Alai.

“Saya meneruskan perjalanan dan tidak sedar bila dia menghampiri kerana laluan di situ gelap. Tiba-tiba dia ragut beg saya hingga menyebabkan telefon bimbit saya dalam jaket yang pakai turut terjatuh.

“Tanpa berfikir panjang, apatah lagi keselamatan diri, saya terus kejar lelaki terbabit yang melarikan beg saya memasuki simpang ke Taman Seri Emas,” katanya.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik ini, suspek jatuh terpelanting dari motosikal selepas cuba menendang motosikalnya.

“Dia cuba tendang motosikal saya tetapi saya dapat elak, malah saya sempat baling air minuman yang saya bawa balik dari tempat kerja. Selepas itu dia jatuh di sebelah longkang.
“Mula-mula saya ingat dia sudah mati sebab dia langsung tak bergerak tetapi seorang pakcik memeriksanya berkata dia masih hidup. Saya tidak dapat kawal diri lalu memukulnya.

“Ketika itu juga saya berkata ‘Kau silap orang lah kalau nak ragut. Kau buat macam ni seolah-olah kau hina perempuan. Kalau perempuan lain mungkin boleh jerit macam tu sahaja tapi dengan aku, aku kejar sampai lubang cacing,” katanya.
Menurutnya, dia yang masih trauma bagaimanapun menguatkan semangat untuk ke tempat kerja keesokan hari apabila disuruh ibunya dan menasihatkan supaya wanita lain berhati-hati serta tidak cuai sepertinya.
“Jangan letak beg dalam raga motosikal kerana memudahkan peragut mencapainya," katanya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam.

Menurutnya, mangsa yang bekerja di sebuah restoran makanan segera di Melaka Raya menunggang motosikal sendirian, dalam perjalanan balik ke rumahnya di Serkam, Jasin.
Katanya, sebelum kejadian, mangsa menyedari suspek memadamkan lampu motosikal jenis Yamaha ditunggangnya ketika mereka berada di persimpangan lampu isyarat Alai/Kandang sebelum meneruskan perjalanan.

“Namun apabila sampai di laluan berbukit di hadapan sebuah sekolah agama, suspek meragut beg mangsa yang diletakkan dalam raga motosikal mangsa jenis Honda EX5.
“Mangsa yang berang mengejar suspek hingga ke Telok Emas sebelum suspek terjatuh sendiri ketika cuba menendang motosikal mangsa apabila tiba di laluan mati di Jalan Seri Emas Utama,” katanya di sini, semalam.
Salehhudin berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kandang, sementara suspek yang cedera seluruh anggota badan dihantar ke Hospital Melaka.
“Selain motosikal suspek, beg mangsa mengandungi RM2 dijadikan barang kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, “ katanya.

No comments:

Post a Comment