Thursday, June 2, 2011

Man Mangkuk Pencuri Kereta


Curi kenderaan, polis buru 'Man Mangkok'

Muhammad (dua dari kiri) melihat rangka dan dua buah lori yang dirampas di Felda Sening dekat Kota Tinggi, Johor, kelmarin.

KOTA TINGGI 1 Jun - Polis percaya dapat menumpaskan satu sindiket curi kenderaan untuk dijual komponennya dengan tertangkapnya seorang mekanik di Felda Sening di sini, pada 27 Mei lalu.

Berikutan itu, polis kini sedang memburu seorang pemilik bengkel di Felda Air Tawar 5 di sini, dikenali dengan panggilan 'Man Mangkok' berusia 45 tahun dan dipercayai telah melarikan diri ke Kuala Lumpur.

Dalam kejayaan hasil serbuan ke atas sebuah rumah pukul 8.30 pagi itu, polis turut menemui lapan barang kes termasuk dua lori disyaki dicuri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Supritendan Muhammad Shamsuddin berkata, suspek yang ditahan itu berusia 34 tahun dan merupakan anak seorang kontraktor pengangkut buah kelapa sawit.

Katanya, serbuan itu diketuai oleh Inspektor Wan Nasrul Wan Ismail dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Tinggi dengan dibantu oleh Ketua Polis Balai Gugusan Adela, Sarjan Puasa Idris.

"Pada mulanya dua enjin lori ditemui di halaman rumah. Rumah bengkel didiaminya itu didirikan di atas tanah milik Felda dengan kebenaran.

"Pemeriksaan susulan menemui dua lori curi jenis Daihatsu tiga tan di rumah yang sama.

"Dua rangka kenderaan yang telah dipotong ditemui di belakang rumah, manakala sebuah rangka lori lagi ditanam di tebing kawasan rumah itu," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Kata Muhammad, siasatan susulan mendapati lori-lori curi itu dilaporkan hilang di Balai Polis Ulu Tiram pada 2005, manakala rangka lori yang ditanam termasuk satu blok enjin dilaporkan hilang pada 2008 di Kulaijaya.

Jelas beliau, empat daripada lori curi terlibat didapati nombor enjin dan casisnya diganggu dan sedang disiasat dengan bantuan Unit Forensik dan suspek disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Katanya, suspek kedua iaitu Man Mangkok dipercayai membekalkan kenderaan curi kepada pihak lain, kononnya adalah kenderaan lelongan bank.

Serbuan ke rumah suspek tambah beliau, mendapati dia telah melarikan diri dipercayai ke Kuala Lumpur dan polis kini sedang mendapatkan nama sebenar dan gambarnya serta meminta suspek menyerah diri untuk membantu siasatan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment