Langgar, Samun Dan Rogol…Polis Buru NAZA, NUZUL dan ZAZA!
Kuala Terengganu – Samun dan rogol. Itu kejadian malang menimpa dua
wanita apabila bukan saja disamun malah dilarikan sebelum dirogol dalam
kejadian di sebuah inap desa di Jalan Kenanga, Dungun, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner K Manoharan
berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika
kedua-dua mangsa berusia 20-an bersama tiga rakan lelaki berusia 20-an
dalam perjalanan pulang ke rumah.
Beliau berkata, sebaik tiba di kawasan Bukit Chantak, Dungun, kereta
Proton Satria dinaiki mereka dihimpit dua kereta Honda dengan nombor
pendaftaran WWW1861 dan sebuah lagi yang tidak dapat dikesan nombor
pendaftarannya sebelum suspek mengarahkan mangsa memberhentikan
kenderaan dengan memperkenalkan diri sebagai polis.
“Suspek kemudian mengarahkan mangsa mengikuti arahan mereka dengan
seorang daripada mereka memandu kereta mangsa sebelum merampas lima
telefon bimbit milik mangsa lalu beredar meninggalkan lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di Kampung Durian Mentagau, Dungun kira-kira
jam 4.15 pagi, suspek yang memandu kereta Proton Satria milik mangsa
melanggar pula sebuah kereta Perodua Kancil dipandu seorang lelaki
berusia 25 tahun bersama abang dan kakak iparnya.
“Sebaik melanggar kenderaan itu, suspek turut melarikan wanita di dalam
Perodua Kancil itu sebelum meninggalkan wanita itu kira-kira satu
kilometer dari tempat kejadian kedua. “Namun, suspek sempat menyamun
sebuah telefon bimbit milik mangsa,” katanya. dalam sidang media di Ibu
Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, semalam.
Manoharan berkata, suspek sekali lagi memberhentikan kenderaan dan
meninggalkan tiga lelaki bersama Proton Satria kira-kira empat kilometer
dari lokasi mereka meninggalkan seorang wanita sebelum itu dan beredar
bersama dua mangsa wanita yang dilarikan dalam kejadian pertama.
Katanya, kedua-dua wanita itu kemudiannya dirogol suspek utama berusia
31 tahun di sebuah inap desa sebelum mereka dirogol oleh dua lagi suspek
yang tiba di inap desa beberapa jam kemudian.
“Bagaimanapun, kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam), dua mangsa berjaya
melarikan diri ketika suspek berada di kawasan Kampung Durian Mentagau
dipercayai untuk menukar nombor pendaftaran kereta bagi mengaburi mata
pihak berkuasa.
“Susulan maklumat daripada dua mangsa masing-masing bekerja sebagai
pelayan dan pekerja di sebuah kedai telefon bimbit, gerakan mengesan
kesemua suspek dijalankan sekali gus membawa kepada penahanan dua suspek
termasuk suspek utama dan seorang warga Indonesia berusia 30-an di
sebuah rumah di Kampung Gong Pasir, di sini kira-kira jam 11.30 pagi
tadi (semalam).
“Hasil siasatan awal mendapati dua suspek yang ditahan ini turut merogol
kedua-dua mangsa. Siasatan mendapati suspek utama turut mempunyai rekod
jenayah membabitkan samun bersenjata sebelum ini,” katanya sambil
memaklumkan polis turut menemui sebuah kereta Honda dengan nombor
pendaftaran WWW1861 di rumah berkenaan.
Manoharan berkata, kumpulan itu dikesan mula bertapak di Dungun dan
Kemaman dengan menyasarkan lelaki dan wanita sebelum mangsa disamun dan
dirogol.
Katanya, selepas kejadian pertama dan kedua, suspek turut mengulangi
jenayah sama apabila cuba melanggar sebuah kereta Honda Civic dinaiki
pasangan suami isteri yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke Kuala
Terengganu. di lampu isyarat Bukit Teruna, Kijal kira-kira jam 1.55 pagi
semalam.
“Namun, mangsa yang curiga dengan keadaan itu tidak memberhentikan keretanya sebelum melarikan diri,” katanya.
Menurut Manoharan, pihaknya kini sedang memburu lima lagi suspek dengan
identiti empat daripadanya sudah pun dikenal pasti. dan percaya pihaknya
dapat menahan kesemua suspek dalam masa terdekat.
Sehubungan itu, katanya, polis mengesan tiga lelaki dikenali sebagai Wan
Zazaliala Wan Hussin atau Zaza, 32, (bekas polis) dari Kampung Baru
Pasir Akar, Jertih, Besut; Mohd Nuzul Mohamad atau Nuzul, 27, dari
Kampung Baru Kiri, Kemasik, Kemaman dan Nazlie Ali atau Naza, 26,
Kampung Padang Merchang, Kuala Terengganu. – Harian Metro