Trauma diculik lelaki bertatu
KUALA LUMPUR - “Kalau terdengar bunyi tapak kasut atau orang berjalan, saya jadi takut, bimbang ada orang mengekori dan cuba culik saya seperti kejadian Rabu lalu,” kata Dania Syazwana Azahar, 10, ketika ditemui di rumahnya di perumahan flat, Taman Sentul Utama, semalam.
Terdahulu, kanak-kanak itu yang baru pulang dari sekolah dilarikan seorang lelaki ketika berada depan rumah, sebelum menjadi ‘tahanan’ selama tiga jam berdekatan belakang sebuah kedai pengantin, kira-kira 500 meter dari rumahnya.
Walaupun sudah tiga hari berlalu, mangsa (Dania) berkata, dia masih trauma dan akan meninjau keadaan sekeliling setiap kali hendak pulang ke rumah atau berjalan seorang diri.
Ketika ditanya berhubung kejadian, mangsa memberitahu dia pulang bersendirian selepas habis sekolah dan ditarik oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika sedang membuka pintu rumah.
Katanya, kejadian berlaku terlalu cepat dan dia tidak dapat mempertahankan diri atau meminta bantuan kerana mulutnya ditekup lelaki terbabit yang menariknya turun melalui tangga di tingkat enam terbabit.
“Saya hanya perasan lelaki itu ada tatu di lengan dan ketika saya dilarikan ada orang yang nampak tapi mereka buat tidak tahu. Saya tak boleh jerit minta tolong dan sewaktu melalui taman permainan saya terjatuh sehingga kaki dan siku saya terluka.
“Lelaki itu panggil kawan-kawannya untuk ikat tangan saya dan tutup mulut dengan pita pelekat,” katanya.
Mangsa berkata, dia bagaimanapun lega apabila terdapat seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan tempatnya dikurung memberi bantuan sebelum menghantarnya pulang ke rumah.
Sementara itu bapa mangsa, Azahar Ahmad, 41, berkata, dia bersyukur kerana tiada kejadian buruk menimpa anak perempuan sulungnya.
Menurutnya, dia sangat berterima kasih dengan lelaki yang tidak dikenali yang sanggup membantu menyelamatkan anaknya dalam kejadian Rabu lalu.
“Sekurang-kurangnya dengan pertolongan dia, Dania terselamat daripada jadi mangsa seperti kes kehilangan Sharlinie Mohd Nashar dan Nurin Jazlin Jazimin beberapa tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian.
Azahar berkata, sudah hampir dua tahun, Dania dan adiknya berusia sembilan tahun dibiarkan pulang ke rumah sendiri kerana dia dan isteri bekerja.
“Saya dan isteri memang bimbang untuk biarkan mereka pulang sendiri ke rumah, tetapi kami tiada pilihan lain kerana masing-masing bekerja. Kami cuma dapat minta jiran bersebelahan yang ada di rumah untuk tengokkan anak kami,” katanya yang bekerja sebagai pemandu peribadi.
Menurutnya, dia percaya lelaki yang melarikan anaknya mungkin sudah membuat intipan awal kerana dia tidak menggunakan lif yang mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV), sebaliknya memilih untuk gunakan tangga dalam kejadian itu.
Katanya, polis sudah mengambil keterangan anaknya malam kelmarin dan dia menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan bagi mengesan individu terlibat yang dipercayai didalangi sindiket tertentu.
Saturday, July 16, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment