Tuesday, July 19, 2011

dompet peragut tertinggal

Peragut diberkas selepas dompet tercicir

ALOR SETAR 18 Julai - Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Demikian perumpamaan yang sesuai untuk dua peragut yang berjaya diberkas polis selepas dompet salah seorang daripada mereka tercicir di tempat kejadian.

Kedua-dua suspek sebelum itu dikatakan cuba meragut beg tangan seorang wanita di Simpang Empat di sini pada Rabu lalu.

Tangkapan pertama dibuat apabila salah seorang suspek hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk membuat laporan berhubung kehilangan kad pengenalannya kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

Hasil tangkapan tersebut, polis berjaya mengesan seorang lagi suspek yang kemudian ditahan di sebuah rumah di Taman Pendang dekat sini kira-kira pukul 6 petang hari sama dan merampas motosikal jenis Yamaha 135LC.

Kedua-dua peragut berusia 25 tahun itu juga dilaporkan gagal melarikan hasil ragut apabila mereka terlibat dalam kemalangan selepas motosikal dinaiki bergesel dengan motosikal jenis Yamaha Ego milik mangsa, Nor Izzuana Zaini, 20, sebelum merempuh sebuah kereta lain.

Dalam kejadian ragut kira-kira pukul 11 malam itu, kedua-dua peragut yang jatuh sempat melarikan diri, manakala mangsa yang cedera ringan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk rawatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Baharom Abu memberitahu, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cuba meragut.

"Salah seorang suspek kini dirawat di wad pemerhatian HSB selepas mengadu sakit di bahagian tulang punggung," jelasnya di sini hari ini.

Sementara itu, mangsa ragut, Nor Izzuana memberitahu, dia yang masih trauma mengambil keputusan untuk menyewa rumah berhampiran tempat kerja berbanding tinggal di rumah ibu di Sungai Limau, Yan yang mengambil masa setengah jam untuk ke tempat kerja.

Menceritakan kejadian itu, Nor Izzuana berkata, dia ketika itu menunggang motosikal bersendirian sebelum dua lelaki menghampirinya dan meragut beg tangan di dalam bakul motosikal.

"Saya terus menjerit dan selepas itu motosikal peragut bergesel dengan motosikal saya menyebabkan kami hilang kawalan lalu merempuh kereta yang mahu belok ke simpang kiri.

"Akibat kejadian itu, saya terjatuh dan cedera ringan di mulut, tangan dan kaki manakala peragut yang juga jatuh terus bangkit dan melarikan diri dengan motosikal," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment