Sunday, May 1, 2011

Mudahnya Melarikan Juta-Juta

4 larikan barangan kemas RM7 juta

Oleh ROZIANAH RISMAN
pengarang@utusan.com.my

PETALING JAYA 30 April - Dalam apa disifatkan sebagai jarang-jarang berlaku, empat lelaki disyaki warga asing melarikan sejumlah barangan kemas bernilai RM7 juta tanpa menggunakan sebarang senjata selepas memperdaya seorang pekerja kedai emas di Jalan Petaling Jaya Utama, malam semalam.

Ketika kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, semua pekerja dikatakan sedang sibuk memasukkan sejumlah berlian dan emas ke dalam beg selepas pameran selesai dijalankan.

Tiba-tiba muncul tiga individu dan berpura-pura bertanya kepada salah seorang pekerja kononnya untuk membeli barangan kemas.

Ketika pekerja itu sibuk melayan tiga individu terbabit, seorang suspek lain segera melarikan beg yang berisi barang kemas tersebut.

Pekerja terbabit hanya menyedari kehilangan barang berkenaan selepas kesemua suspek beredar meninggalkan lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya masih menyiasat suspek yang terlibat di dalam kejadian tersebut dan sehingga kini tiada tangkapan dilakukan.

"Kita masih menjalankan siasatan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam bangunan tersebut. Ia bagi membantu kita mengenal pasti identiti suspek," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, orang ramai yang berada di tempat kejadian diminta tampil memberikan maklumat berhubung kes terbabit.

No comments:

Post a Comment