Monday, May 2, 2011

Maut Selepas Disamun/Tumbuk

Wanita maut selepas ditumbuk

KUALA TERENGGANU 1 Mei - Entah di mana hilangnya sifat kemanusiaan, seorang wanita berusia 53 tahun bukan sahaja disamun malah ditumbuk mukanya sehingga pengsan sebelum mulut dan matanya ditampal dengan pita pelekat sehingga mengakibatkan mangsa maut akibat sesak nafas.

Kejadian berlaku pukul 4 pagi semalam, ketika mangsa, Ka'yah Said dan anak perempuannya berusia 13 tahun berada di dalam rumah di Bukit Kuang, Kemaman, sebelum kediaman mereka diceroboh sekumpulan suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, mangsa yang terkejut terus menjerit sebaik terserempak dengan suspek yang sedang menggeledah rumah.

Katanya, berikutan itu mangsa dipercayai ditumbuk pada mukanya sehingga tidak sedarkan diri.

"Suspek kemudian mengikat mangsa serta menutup mulut dan matanya menggunakan pita pelekat sebelum melarikan beberapa barang berharga termasuk barang kemas dan elektronik," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Manoharan berkata, semasa kejadian, anak mangsa berada dalam bilik kerana ketakutan manakala suami wanita itu pula di Kota Bharu, Kelantan, kerana mempunyai urusan.

Katanya, kanak-kanak itu hanya keluar selepas kedatangan pihak polis yang dihubungi jirannya setelah melihat sesuatu mencurigakan di rumah tersebut.

"Mangsa dikejarkan ke Hospital Kemaman tetapi disahkan meninggal dunia 15 minit selepas menerima rawatan," ujarnya.

Tambah Manoharan, kes itu disiasat di bawah Seksyen 396 dan Seksyen 302 atas kesalahan menyamun dan membunuh.

"Kita sudah ada maklumat dan petunjuk tentang kes itu dan siasatan diteruskan dengan kerjasama IPD Kemaman," ujar beliau.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment