Samun: Pemandu, kelindan lori selamatkan RM21,000
KUALA LUMPUR 24 April - Seorang wanita warga emas nyaris kempunan menikmati wang peninggalan arwah ibunya apabila disamun selepas mengeluarkan wang tersebut dari sebuah bank di Taman Equine di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, mangsa bernasib baik apabila mendapat kembali wang RM21,000 yang dikeluarkan dengan bantuan pemandu dan kelindan sebuah lori.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, mangsa berusia 58 tahun mengeluarkan wang RM21,000 ditinggalkan oleh ibunya untuk dibahagikan antara adik-beradik.
Beliau berkata, sebaik sahaja keluar dari bank, mangsa masuk ke dalam teksi yang dipandu oleh suaminya dan meletakkan beg tangan berisi wang di atas pahanya.
"Tiba-tiba muncul dua lelaki bermotosikal menghampiri teksi tersebut dan bertindak memecahkan cermin tingkap hadapan sebelah kiri dan merampas beg tangan mangsa.
"Penjenayah kemudian melarikan diri, namun seorang pemandu lori satu tan yang melihat kejadian itu bertindak menghimpit motosikal dinaiki mereka menyebabkan suspek terjatuh," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, semasa terjatuh, wang yang dilarikan suspek telah terkeluar dari beg tangan menyebabkan penjenayah terbabit panik dan melarikan diri tanpa membawa wang tersebut.
Menurutnya, kedua-dua lelaki terbabit berjaya melepaskan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Waja yang dipandu oleh rakan yang lain.
Katanya, mangsa berjaya mendapatkan semula wang pusaka ibunya, namun mengambil keputusan memasukkan semula wang itu ke dalam bank sebelum membuat laporan polis.
"Polis menghargai keprihatinan pemandu dan kelindan lori yang membantu mangsa dalam kejadian samun ini.
"Bagi menghargai jasa mereka, kami akan memberi sijil penghargaan dan pada masa sama meneruskan siasatan untuk mengesan penjenayah terlibat," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Monday, April 25, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment