Thursday, April 21, 2011

Peneroka Ditipu


Peneroka rugi RM67,800

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my


MOHAMED Awang Da menunjukkan 'permata' di dalam gelas yang diperolehi di rumahnya di Felda Jengka 18, Maran, Pahang, baru-baru ini.

MARAN 20 April - Seorang peneroka Felda Jengka kerugian RM67,800 selepas terpedaya dengan helah seorang lelaki bergelar 'Pak Haji' yang berlagak alim dan meminjamkan wangnya kepada suspek di Temerloh, kelmarin.

Mangsa, Mohamed Awang Da, 78, dari Felda Jengka 18 mendakwa, kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu berlaku apabila dia ditegur seorang lelaki berdekatan Bangunan Tabung Haji Temerloh.

Menurutnya, lelaki yang mendakwa berasal dari Melaka itu berpura-pura bertanyakan seorang lelaki bernama 'Haji Husin' yang kononnya tinggal di Temerloh kerana menjalankan urusan perniagaan batu permata.

"Kira-kira lima minit berbual, muncul seorang lagi lelaki memperkenalkan diri sebagai 'Haji Mad Saad' menyatakan seorang rakannya yang dihubungi melalui telefon sanggup membeli permata dengan harga RM200,000.

"Haji Mad Saad mendakwa rakannya yang bernama Haji Osman sedang menunggu di hadapan Pasar Raya Terus Maju di Jalan Temerloh-Maran bagi urusan jual beli permata itu.

"Apa yang menghairankan, saya tidak membantah apabila dipelawa berjumpa Haji Osman di pasar raya berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Felda Seroja Jengka 18 di sini, semalam.

Mohamed memberitahu, ketika menemui Haji Osman di pasar raya itu, lelaki terbabit menyatakan tidak membawa wang untuk membeli batu permata berkenaan.

Berikutan itu, ujarnya, Haji Osman meminta dia mendahulukan wangnya sebelum memberi nombor telefon dan alamat rumah di Taman Chengal di sini.

"Saya diarah oleh Haji Osman balik ke Felda Jengka 18 bersama Haji Mad Saad untuk mengambil buku akaun sebelum datang semula ke Temerloh untuk mengeluarkan wang.

"Tanpa membantah saya mengeluarkan wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak RM52,000 dan RM13,000 daripada Bank Rakyat.

"Wang tunai di tangan sebanyak RM2,800 untuk membeli keperluan rumah turut dikebas ketiga-tiga lelaki terbabit," katanya.

Menyedari dirinya ditipu, Mohamed berkata, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3 petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Nor Mansor mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment