Saturday, April 23, 2011
Akibat Memeras Ugut
Terima padah peras ugut gadis
KUANTAN - Seorang remaja lelaki sanggup mengugut untuk mencederakan dan memanggil rakan-rakan supaya merogol seorang gadis bagi memaksa mangsanya itu menyerahkan sebuah telefon bimbit dalam satu kejadian di Teluk Chempedak di sini, awal pagi 18 April lalu.
Kerana perbuatannya, remaja berusia 18 tahun dari Lorong Bukit Setongkol Perdana 52 di sini terpaksa menerima padah apabila dicekup polis selepas mangsa membuat laporan berhubung pemerasan itu.
Dia juga kini berdepan hukuman penjara hingga 7 tahun, denda, disebat atau dua daripada hukuman itu selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pemerasan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Wahida Zainal Abidin di hadapan Majistret Nurulnaim Abdullah, semalam.
Remaja itu dibenarkan bebas dengan diikat jamin RM4,000 seperti yang ditawarkan pihak pendakwaan bagaimanapun dia dibenarkan membuat rayuan berhubung jumlah jaminan tersebut.
Dalam rayuan ringkasnya, tertuduh merayu jumlah ikat jamin ke atasnya dikurangkan memandangkan kejadian itu kesalahan pertamanya manakala dia juga terpaksa menyara adik dengan pendapatan tidak seberapa.
Mengambil kira rayuan tertuduh itu, Nurulnaim mengurangkan jumlah jaminan kepada RM2,800 manakala 23 Mei depan ditetapkan sebagai tarikh perbicaraan kes itu dalam mahkamah yang sama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment