Thursday, March 3, 2011

Wanita Selalu Kena Tipu

Wanita paling ramai kena tipu

Oleh Sitti Nor Azizah Talata
utusansabah@utusan.com.my
KOTA KINABALU 2 Mac - Golongan wanita merupakan kumpulan terbesar di negeri ini menjadi mangsa penipuan Internet membabitkan kerugian mencecah RM5 juta sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 93 kes melibatkan penipuan melalui kenalan di alam maya tersebut manakala 41 kes tipu bungkusan atau semasa berurusan membeli barangan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Soh Hock Seng berkata, wanita menjadi mangsa berusia 25 hingga 35 tahun termasuk suri rumah.

"Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, sebanyak 20 kes tipu Internet dan bungkusan melibatkan kerugian RM219,164 dilaporkan.

"Justeru, saya ingin menasihati orang ramai khususnya pengguna Internet lebih berhati-hati ketika berurusan dan tidak mudah terpengaruh dengan kenalan Internet," katanya di sini hari ini.

Hock Seng berkata, antara kes berlaku melibatkan seorang penyelia akaun yang kerugian lebih RM49,000 selepas dia diminta membayar bagi membawa keluar bagasi kononnya berisi wang AS$2.6 juta (RM7.9 juta).

Katanya, mangsa yang dikenali sebagai Chin, 48, sebelum itu dikatakan berkenalan dengan seorang lelaki berasal dari Kanada pada Januari lalu.

"Lelaki tersebut juga berjanji akan datang bercuti ke Malaysia untuk berjumpa dengan mangsa.

"Bagaimanapun, suspek yang dikatakan mengambil penerbangan dari Scotland telah menghubungi mangsa dan memberitahu bahawa bagasi miliknya berisi sejumlah wang tersebut telah ditahan selepas tidak diisytiharkan," ujarnya.

Soh memberitahu, pihaknya telah menasihati orang ramai terutama golongan wanita supaya berhati-hati dengan tawaran dan kenalan di Internet.

Namun, katanya, masih ramai yang tertipu kerana mudah terpengaruh dengan perniagaan menarik dalam talian dan rakan-rakan dalam Internet.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment