'Hilang dan Jumpa' taktik terbaru seludup dadah
KUALA LUMPUR 9 Mac - Selepas pelbagai taktik dibongkar pihak berkuasa, sindiket pengedaran dadah antarabangsa kini dikesan menggunakan modus operandi (MO) baru menggunakan taktik 'Hilang dan Jumpa' bagi menyeludup masuk dadah melalui lapangan terbang negara.
Berikutan itu, polis merampas sejumlah 9.8 kilogram (kg) syabu bernilai 2.35 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dan menahan tiga orang termasuk dua wanita dalam tiga kes dari Sabtu lalu sehingga semalam.
Ini berikutan taktik menelan dadah atau mengubah suai bagasi yang dibawa mereka berjaya digagalkan pihak berkuasa melalui operasi penguatkuasaan yang ketat di semua pintu masuk negara itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim (gambar) berkata, melalui MO terbaru itu, sindiket dadah tidak membawa bagasi seperti biasa tetapi akan melaporkan kehilangan bagasi yang dibawa anggota sindiket atau penyeludup upahan.
Katanya, selang beberapa hari kemudian, anggota sindiket kembali ke lapangan terbang terbabit untuk menuntut bagasi yang dilaporkan 'hilang'.
Beliau berkata, MO itu berjaya dibongkar JSJN Bukit Aman dalam operasi di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) apabila mengesan sebuah beg berisi dadah ditinggalkan di kaunter 'Hilang dan Jumpa', Sabtu lalu.
"Hasil pemeriksaan ke atas beg pakaian di KLIA, kita berjaya menemui 4.2 kilogram dadah yang bernilai RM1.1 juta. Bagaimanapun, tiada individu ditahan ketika operasi itu," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Noor Rashid, kurang 24 jam selepas penemuan dadah itu, sepasang lelaki dan wanita warga Iran berjaya ditahan ketika datang ke kaunter 'Hilang dan Jumpa' bagi menuntut bagasi.
Katanya, curiga dengan tindakan suspek, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas dua buah beg dan menjumpai dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam beg bagasi itu.
"Salah satu beg berisi 1.4 kilogram dadah jenis syabu manakala sebuah lagi yang dibawa oleh wanita Iran itu seberat 1.2 kilogram syabu. Kesemua dadah itu bernilai RM500,000," katanya.
Noor Rashid memberitahu, hasil risikan pihaknya turut berjaya menahan seorang wanita warga Vietnam berusia 30 tahun yang turut menuntut bagasi di kaunter Hilang dan Jumpa, semalam.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bagasi suspek, pihaknya menemui dadah jenis syabu seberat tiga kilogram bernilai RM750,000 yang disembunyikan di bawah beg suspek.
"Hasil siasatan, wanita terbabit datang dari Doha ke Kuala Lumpur menggunakan penerbangan Qatar Airways.
"Kita masih lagi menjalankan siasatan jika mereka terdiri dari sindiket yang sama," katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Thursday, March 10, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment